Moratorium: Ikhtiar membantu para peminjam - Utusan Malaysia

Moratorium: Ikhtiar membantu para peminjam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Pertolongan, termasuk mo­ratorium pembayaran, tidak pernah dihentikan kepada mereka yang memerlukan,” tegas Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, baru-baru ini. Beliau juga menafikan bahawa tanpa moratorium menyeluruh, peminjam yang dalam kesusahan tidak akan dibantu.

Moratorium, adalah antara langkah yang telah diambil untuk membantu masyarakat yang terkesan dari sudut ekonomi akibat wabak Covid-19. Tujuannya adalah untuk memberi ruang nafas kepada mereka yang hilang pekerjaan atau dipotong gaji, dengan memberi penangguhan bayaran ansuran pinjaman atau pembiayaan bank. Bermula April 2020, moratorium diberikan secara automatik dan menyeluruh. Sesiapa yang mempunyai pinjaman atau pembiayaan bank berhak me­nerima moratorium. Mereka yang tidak terkesan dengan Co­vid-19 pun, dan pada hakikatnya masih mampu melunaskan ansuran bank, berhak menerima moratorium tersebut. Namun, ada juga peminjam yang tidak menerima moratorium automatik ini dan meneruskan ansuran bank seperti biasa kerana tidak mahu memanjangkan tempoh pembiayaan mereka.

Moratorium secara automatik berakhir pada Oktober 2020. Sejak ia berakhir, kira-kira 85 peratus peminjam telah me­nyambung bayaran ansuran bank mereka. Bagi mereka yang masih terkesan, skim bantuan bayaran bersasar telah diperkenalkan. Namun kali ini, mereka perlu memohon kepada bank masing-masing. Susulan itu, jumlah permohonan yang diterima pihak bank melebihi 650,000.

Menariknya, 98 peratus permohonan telah diluluskan, sama ada mendapat pengura­ngan bayaran ataupun diberikan moratorium. Jika dilihat dari statistik ini, boleh dirumuskan bahawa mereka yang memohon sudah hampir pasti mendapat kelulusan. Selain itu, lebih kurang 40 peratus daripada yang menerima kelulusan, iaitu hampir 250,000 pemohon, telah diberikan pelanjutan moratorium selama tiga bulan.

Tambahan, ada juga bank-bank menyediakan inisiatif mereka sendiri yang memboleh­kan pemohon-pemohon, sebagai contoh dari sektor pelancongan, untuk mendapatkan lanjutan moratorium tambahan sehingga enam bulan lagi.

BNM juga memberi jaminan bahawa proses permohonan te­lah dipermudahkan. Bank-bank telah diarahkan untuk membantu para peminjam. Persatuan perbankan seperti Persatuan Institusi Perbankan dan Kewa­ngan Islam Malaysia (AIBIM) telah mengorak langkah untuk memastikan segala bantuan diberikan kepada peminjam.

Pemohon juga boleh terus berurusan dengan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) BNM untuk mendapatkan nasihat serta mengemukakan aduan jika ada sebarang kesulitan. Selain itu, dalam Belanjawan 2021, skim bantuan bersasar telah ditambah baik untuk memberi bantuan kepada golongan M40, selain B40. Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) pula telah mempertingkatkan kemam­puan mereka bagi memastikan setiap peminjam dapat dibantu segera dalam menangani masalah kredit.

Pokoknya, moratorium belum berakhir dan masih diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukannya. Bagi peminjam, terdapat beberapa saluran untuk mendapatkan bantuan.

Moratorium hanyalah salah satu ikhtiar untuk membantu para peminjam. Namun, harus diingat bahawa moratorium bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian yang ada. Ada lagi cara lain yang tersedia untuk membantu mereka yang terkesan. Tepuk dada, tanya selera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN