Uzairayyan Carpet gigih kembangkan perniagaan
NIBONG TEBAL: Ketika mula-mula menceburkan diri dalam perniagaan permaidani kira-kira enam tahun lalu, masalah utama yang dihadapi oleh sepasang suami isteri ini adalah untuk meyakinkan pelanggan memandangkan lebih banyak beroperasi secara dalam talian dan tidak memiliki kedai sendiri.
Pada masa yang sama, mereka juga berdepan dengan saingan daripada warga asing terutamanya dari India dan Pakistan yang sememangnya sinonim dengan penjualan karpet di Malaysia.
Bagaimanapun, pasangan terbabit, Rosfa Nizam Abu Seman, 43, dan isterinya, Rosyifa Sapihee, 37, tidak pernah mengalah dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri meskipun menyedari mereka mungkin satu-satunya usahawan bumiputera yang menjalankan perniagaan tersebut khususnya di Pulau Pinang.
Berkat kesabaran serta kegigihan mereka membangunkan perniagaan berkenaan di bawah jenama Uzairayyan Carpet, Rosfa Nizam dan Rosyifa kini memiliki sebuah pejabat urusan atau operasi yang memuatkan lebih 100 sampel karpet khususnya untuk kegunaan masjid, surau serta pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.
Selain itu, syarikat mereka, Uzairayyan Enterprise sehingga kini juga telah terlibat dalam hampir 100 projek pemasangan serta pembekalan karpet di sekitar Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Selangor dan Negeri Sembilan.
Rosfa Nizam yang juga graduan lulusan Syariah Islamiah di sebuah universiti di Mesir berkata, kebanyakan karpet yang mereka jual berasal dari Turki, namun katanya, ada juga karpet yang diperoleh dari China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir serta karpet tempatan yang diperbuat daripada bulu kambing.
“Untuk karpet masjid dan surau, harga karpet yang kita tawarkan ini adalah dalam lingkungan antara RM4.50 hingga RM22 untuk sekaki persegi termasuk harga pemasangan.
“Alhamdulillah, setakat ini permintaan untuk karpet sentiasa ada walaupun Covid-19 sedikit membataskan pergerakan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Rosfa Nizam, bagi memudahkan urusan pembekalan serta pemasangan karpet, pihaknya juga mempunyai pasukan sendiri yang berpengalaman dalam kerja-kerja itu selama hampir 20 tahun.
“Setakat ini, secara purata juga, kami mampu memperoleh hasil jualan sehingga lima angka dalam tempoh sebulan,” katanya yang mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM5,000 selain menerima bantuan sehingga RM10,000 daripada ahli keluarganya yang lain untuk memulakan perniagaan tersebut.
Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, impian mereka ketika ini ialah untuk menjadi syarikat peneraju dalam pemasangan serta pembekalan karpet selain menjadi pengimport utama karpet dalam kalangan syarikat bumiputera Muslim.
“Kalau dimurahkan rezeki juga, saya dan isteri berhajat untuk pergi ambil dan pilih sendiri karpet di sana (Turki serta negara-negara Arab) demi kepuasan pelanggan kami,” katanya yang pernah menjadi penganjur kursus perkahwinan selama dua tahun selain berniaga secara kecil-kecilan sebelum ini.
Uzairayyan Enterprise boleh dihubungi menerusi talian 012-4986859 dan 012-4165436 untuk keterangan lanjut. – UTUSAN










