Kebanyakan kita pasti menyedari kepentingan mempertingkat kredibiliti digital sebagai landasan memperkukuh potensi pasaran. Tanpa memanfaatkan peluang yang ada, kita mungkin tercicir dalam trend perubahan pasaran yang terus berkembang pantas pada era digital kini.
Antara perkara yang menarik perhatian sepanjang norma baharu ini adalah kenaikan trend terhadap penggunaan Instagram. Berdasarkan kenyataan daripada instagram sendiri, terdapat peningkatan sebanyak 80 peratus dengan lebih 400 juta pengguna aktif Instagram di seluruh dunia berbanding sebelum krisis pendemik berlaku. Malaysia juga tidak terkecuali menjadikannya antara platform media sosial pilihan yang semakin popular.
Melalui kelebihan dalam memaparkan imej dan video berdurasi pendek, Instagram menjadi pilihan ramai pengguna media sosial sebagai platform perkongsian santai dan unik. Atas faktor tersebut, ia turut menarik perhatian ramai peniaga mikro, pengusaha restoran, perusahaan kecil dan sederhana sehingga perniagaan bertaraf multinasional untuk menjadikan Instagram sebagai antara platform pemasaran yang kreatif dan kos efektif.
Terdapat beberapa kelebihan Instagram yang boleh dimanfaatkan sebagai landasan memperkukuh potensi kerjaya, keusahawanan mahupun perniagaan yang diusahakan. Ia juga boleh dijadikan sebagai satu daripada saluran media sosial untuk menarik lebih ramai pelanggan di samping prospek pasaran baharu.
Mutu gambar. Instagram dilengkapi ciri-ciri pengeditan imej dalam menyokong penghasilan gambar dan video yang menarik. Walaupun hanya berbekalkan telefon pintar, setiap gambar yang dimuat naik boleh diolah dengan mudah bagi menambahbaik kualiti dan mutu penerampilan gambar yang lebih meyakinkan kepada audien.
Kemudahan pengeditan gambar dapat meningkatkan lagi tarikan terhadap produk atau perkhidmatan yang diperkenalkan tanpa memerlukan kos pengeditan profesional. Namun, sedikit kemahiran juga diperlukan bagi menghasilkan sudut gambar agar lebih kreatif dan menarik.
Biodata. Profil atau biodata individu, perniagaan, produk atau perkhidmatan amat penting dalam pemasaran. Instagram menyediakan ruang pengenalan ringkas bagi memudahkan pelanggan dan prospek mengenali niche atau identiti sesebuah perniagaan di Instagram. Ia turut dilengkapi ruang pautan URL kepada laman web rasmi, platform e-dagang atau mana-mana saluran media sosial lain yang ingin diketengahkan.
Integrasi media sosial. Antara kelebihan yang turut menjadi pilihan adalah kemudahan mengintegrasi setiap status yang dimuat naik di Instagram untuk dikongsikan ke rangkaian media sosial lain seperti Facebook, Facebook Page, Twitter dan Tumblr. Ia menjimatkan masa dan memudahkan peniaga mempromosikan produk atau perkhidmatan di beberapa media sosial dalam satu masa.
Tanda pagar dan tautan. Satu cara dalam menguar-uarkan status di Instagram adalah melalui tanda pagar (Hashtag – #) dan pautan (Tagging). Penggunaan hashtag’ yang bersesuaian dapat membantu meluaskan lagi capaian status yang dimuat naik bukan sahaja kepada para followers tetapi lebih ramai audien sasaran. Melalui penggunaan tanda pagar yang konsisten pada setiap status turut membantu dalam menjana prospek pelanggan baharu.
Video. Kelebihan video berdurasi pendek, Instastory dan IG Live juga merupakan ciri-ciri istimewa yang mampu menarik perhatian pelanggan dalam penyampaian lebih berkesan. Teknik penceritaan melalui video kreatif juga membantu mencipta personal communication yang lebih baik di antara perniagaan dan para pelanggan.
Secara realiti, Instagram telah membantu ramai usahawan dan organisasi perniagaan dalam memperkukuh kredibiliti pasaran digital di samping menyokong peningkatan jualan melalui tarikan promosi serta kempen pemasaran yang mesra dan kreatif.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










