KDNK stabil, rakyat merana - Utusan Malaysia

KDNK stabil, rakyat merana

Kesan pemulihan ekonomi disifatkan hanya dirasai industri tetapi belum menyeluruh sampai kepada rakyat. –UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kedudukan ekonomi tidak mencerminkan nasib rakyat secara keseluruhan

KUALA LUMPUR: Walaupun kedudukan ekonomi negara berada dalam landasan tepat untuk kembali pulih, namun situasi itu sebenarnya tidak mencerminkan nasib rakyat secara keseluruhan.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid malah beranggapan perjalanan untuk kita menyaksikan ekonomi negara terus berkembang masih jauh tatkala jumlah kes jangkitan Covid-19 semakin membimbangkan.

Menurut Baharom, kekhua­tiran itu wujud apabila sikap kurang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang kadang kala turut dicabuli pembuat dasar atau ahli politik boleh menyebabkan negara terpaksa melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus merencatkan kegiatan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelaksanaan program yang telah direncana kerajaan termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan segala insentif dalam Belanjawan 2021 perlu dipantau dengan rapi serta diukur tahap impak sosial supaya dapat memastikan rakyat keluar daripada kepompong kesusahan ketika ini.

“Dari segi makro memang ekonomi Malaysia menunjukkan tanda-tanda pemulihan, namun persoalannya adakah rakyat menerima tempias yang sama? Bagi saya tidak.

“Kesan pemulihan ekonomi utama adalah kepada industri dan syarikat yang melibatkan majikan, namun belum menyeluruh sampai kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ekonomi negara melonjak dengan ketara pada suku ketiga apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan penguncupan 2.7 peratus, penyusutan lebih perlahan berbanding 17.1 peratus dalam suku kedua tahun ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin ketika membentangkan prestasi ekonomi suku ketiga secara dalam talian, Jumaat lalu memberitahu pertumbuhan itu didorong oleh prestasi sektor pembuatan yang naik 3.3 peratus berbanding penurunan 18.3 peratus pada suku sebelumnya.

Tambah Baharom, segala insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 pada dasarnya amat baik dan mampu membantu rakyat yang terkesan.

Namun begitu, beliau berkata, pengagihan, pelaksanaan dan pemantauan adalah lebih penting dengan mengukur tahap keberjayaan program terhadap impak sosial yang akan dicapai kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN