Emirates optimis terus berkembang - Utusan Malaysia

Emirates optimis terus berkembang

Emirates turut menerima impak penularan Covid-19 yang menjejaskan operasinya di peringkat global. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Mohammad Al Attar

KUALA LUMPUR: Industri penerbangan dan perjalanan udara telah menerima impak besar sekatan perjalanan serta penutupan sempadan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Namun begitu, Emirates Malaysia tetap yakin kadar permintaan akan kembali tumbuh sekali gus memberi kesan positif kepada operasi satu daripada syarikat penerbangan terbaik dunia itu.

Menurut Pengurus Negara Emirates Malaysia, Mohammad Al Attar, keyakinan itu timbul selepas syarikat berkenaan yang terpaksa menutup operasi hampir tiga bulan sebelum ini telah menambah kekerapan penerbangan kepada lima kali seminggu, September lalu atas sebab peningkatan permintaan kargo dan juga penumpang.

Mengakui turut tidak terkecuali dengan impak terhadap operasi dan kewangan syarikat, Mohammad berkata, sebelum Covid-19 melanda, Emirates Malaysia mengendalikan tiga penerbangan sehari bersamaan 21 kali penerbangan seminggu ke Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, kami membawa 1,500 penumpang sehari atau 10,500 penumpang seminggu, namun kini hanya 1,500 penumpang untuk satu minggu. Sudah tentu Covid-19 telah memberi kesan besan kepada kami.

“Namun begitu, kami telah memulakan semula operasi pada bulan Jun dengan empat penerbangan seminggu dan menambah kepada lima penerbangan pada bulan September. Jadi, kami optimis keadaan ini akan beransur pulih bergantung kepada permintaan kargo dan juga penumpang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata, walaupun terdapat perkembangan baharu mengenai vaksin Covid-19, namun Emirates Malaysia tetap berhati-hati dengan tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru.

“Permintaan perjalanan sememangnya bergantung kepada faktor luaran termasuk vaksin dan juga peraturan perjalanan dari sebuah negara ke negara lain.

“Saya tidak mempunyai jawapan bila industri ini akan mampu bangkit semula, kita hanya mampu tunggu dan lihat tetapi ketika ini saya hanya memberi tumpuan kepada operasi di Malaysia yang ketika ini mempunyai lima penerbangan seminggu. Jika ia bertambah, bagus untuk kami,” katanya.

Dalam masa yang sama, menurut Mohammad, Emirates amat mementingkan keselamatan semua yang terlibat dalam penerbangan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum, semasa dan selepas penerbangan.

Katanya, setiap penumpang perlu membuat ujian Covid-19 96 jam sebelum berlepas dan memakai pelitup muka sepanjang perjalanan dengan kru kabin turut memakai perlindungan termasuk sut keselamatan, pelindung muka dan sarung tangan.

“Kami amat mementingkan keselamatan semua dan menitikberatkan segala langkah yang ditetapkan diikuti semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN