KUALA LUMPUR: Susulan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) memperincikan langkah-langkah belanjawan yang diambil dengan fokus terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut BNM, pihaknya akan menyediakan kemudahaan pembiayaan tambahan bagi memberikan bantuan dan menyokong pemulihan PKS.
“Kemudahan bernilai RM2 bilion adalah untuk PKS berkelayakan yang hasil mereka telah terjejas akibat perintah kawalan pergerakan diperketat dan bersyarat baru-baru ini.
“Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) akan disediakan melalui institusi kewangan peserta pada kadar konsesi sehingga 3.5 peratus dengan perlindungan jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Perbadanan Jaminan Kredit (CGC).
“Kemudahan ini dijangka dibuka untuk permohonan mulai 1 Disember ini,” katanya dalam kenyataan di sini Jumaat lalu.
Selain itu, kemudahan bernilai RM500 juta pula adalah untuk membantu PKS dalam sektor teknologi tinggi seperti subsektor baja dan getah sintetik, bahan kimia asas, produk petroleum bertapis, farmaseutikal bioteknologi serta penerbangan dan angkasa lepas.
Turut diperuntukkan adalah penambahan peruntukan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) sebanyak RM110 juta.
Ia menjadikan nilai kemudahan tersebut dinaikkan menjadi RM410 juta berbanding RM300 juta dengan baki peruntukan sedia ada sebanyak RM200 juta digunakan untuk menyokong perusahaan mikro termasuk pekerja gig yang menggunakan platform digital dan pekerja yang bekerja sendiri.
Untuk individu yang terjejas, BNM menawarkan penambahbaikan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) selepas industri perbankan bersetuju memberikan bantuan tersebut untuk peminjam individu dan PKS.
“Kesemua penambahbaikan ini merupakan tambahan kepada bantuan yang diumumkan sebelum ini untuk mereka yang kehilangan pekerjaan serta untuk individu dan PKS yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik.
“Peminjam juga boleh terus menghubungi bank mereka untuk bantuan bayaran balik yang sesuai mengikut keadaan kewangan khusus mereka kerana semua bank terus bersedia memberikan bantuan kepada peminjam yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN










