KUALA LUMPUR: Platform pelaburan lestari mudah alih dalam talian, BEST Invest yang dibangunkan anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Bhd. iaitu BIMB Invesment Mangement Bhd. disasarkan untuk meraih sebanyak RM10 juta jumlah pelaburan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, selepas dilancarkan pada pertengahan April lalu, aplikasi BEST Invest telah mendapat sambutan menggalakkan selepas menerima pelaburan mencecah RM7.44 juta setakat 23 Oktober lalu.
Beliau berkata, BEST Invest menawarkan pelbagai dana unit amanah patuh syariah-ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang diuruskan BIMB Investment merentasi beberapa kelas aset termasuk dana ekuiti patuh syariah-ESG global, Asia Pasifik dan Malaysia; sukuk ESG global serta pasaran wang.
Menurut Najmuddin, aplikasi tersebut juga telah memperoleh 20,714 muat turun setakat 23 Oktober lalu.
“BEST Invest merupakan satu komitmen daripada BIMB Investment untuk membawa kemudahan transaksi dana unit amanah secara digital yang dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menerusi aplikasi BEST Invest, pelabur boleh mula melabur dan membina matlamat pelaburan unit amanah bermula daripada RM10 tanpa sebarang caj jualan.
Pelabur juga boleh mengeluarkan pelaburan pada bila-bila masa dan di mana sahaja di samping menetapkan matlamat pelaburan, jumlah dan jangka masa seperti membeli rumah, kereta, menunaikan haji atau umrah, tabung pendidikan dan pelbagai lagi. – UTUSAN










