KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet yang dilihat akan bersetuju dengan pengambilalihan semula tanah FGV Holdings Berhad (FGV) oleh Felda, dijangka tidak menguntungkan FGV.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, keputusan itu akan memberi impak negatif kepada masa hadapan FGV sekali gus turut memberi kesan kepada Felda yang merupakan pemegang saham syarikat itu.
“Sejauh mana penamatan pajakan ini akan memberi impak kepada FGV dan adakah tindakan ini rentetan hasrat Perspective Lane (M) Sdn. Bhd. untuk mengambil alih atau membeli FGV?
“Secara peribadi saya rasa ia berkait langsung dan secara peribadi saya fikir ia akan memberi impak negatif kepada masa hadapan FGV yang kini satu pertiganya dimiliki Felda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam menyatakan kerajaan akan meneruskan usaha memulihkan Felda dengan menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion yang dijamin oleh kerajaan.
Bagaimanapun, menurut sumber, fasa-fasa lain pemulihan akan turut mengambil tempat pada masa akan datang termasuk penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) melibatkan 351,000 hektar tanah ladang yang dipajak kepada FGV sebelum ini.
Mengulas lanjut, Baharom berkata, Felda sememangnya mempunyai masalah aliran tunai dan masalah yang paling jelas dilihat adalah pada LLA yang tidak mendatangkan hasil seperti yang dijangka.
Namun, kata beliau, persengketaan antara Felda dan FGV akibat perkara ini tidak menguntungkan sesiapa dan seharusnya kedua-dua pihak berdamai serta memikirkan jalan untuk mengembalikan keuntungan sekali gus membantu peneroka.
“Walaupun Felda dalam proses pemulihan dalamannya akibat tadbir urus yang kurang memuaskan sebelum ini, namun saya masih rasa mereka harus saling melengkapi,” katanya. – UTUSAN










