Strategi penceritaan dalam pemasaran digital - Utusan Malaysia

Strategi penceritaan dalam pemasaran digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penceritaan atau ‘storytelling’ semakin menjadi pilihan ramai para usahawan dalam memperkukuh potensi keusahawanan, membina hubu­ngan pelanggan serta memperluas prospek pasaran. Dalam kemajuan era digital kini, sesiapapun sebenarnya boleh mempraktikkan kaedah Penceritaan kerana ia boleh dilakukan tanpa pengetahuan teknologi tinggi dan kos selain masa dan idea menulis. Namun ia memerlukan perancangan dan latihan yang konsisten serta kesabaran bagi memastikan ia berhasil.

Berdasarkan penglibatan di ruangan digital menyaksikan ada dalam kalangan usahawan yang memulakan perniagaan dalam talian akhir­nya berputus asa kerana gagal menjana jualan. Setelah pelbagai status promosi demi promosi di pelbagai ruangan digital dan media sosial, semangat mula luntur. Namun tidak kurang juga yang berjaya membina reputasi pasaran tersendiri hanya dengan memanfaatkan strategi penceritaan di Facebook peribadi.

Maka apa membezakan mereka yang berjaya dengan yang tidak membuahkan ha­sil?

Sebelum penjelasan lanjut, bayangkan situasi anda bersama keluarga atau rakan-rakan sedang menjamu selera di sebuah restoran. Maka ketika itu datang seorang jurujual menghampiri anda atau dalam kalangan rakan anda sendiri sibuk mempromo produknya dengan harapan agar anda membeli. Situasi itu sedikit sebanyak pasti membuatkan ‘mood’ makan anda terganggu. Jika anda membeli sekalipun adalah disebabkan faktor menjaga hati atau sekadar membantu. Silap hari bulan, anda sendiri akan cuba mengelak bila diajak makan bersama lagi.

Pada realitinya, situasi yang sama juga sering berlaku dalam dunia pemasaran digital. Persoalannya, mahukah karakter media sosial anda seperti jurujual atau ‘kawan’ itu tadi?

Secara asas terdapat tiga kategori pengguna laman sosial iaitu golongan yang berniaga dan mahu menjana pendapatan tambahan, mereka yang meninjau maklumat dan berkongsi pendapat, serta golongan yang sekadar bersosial di samping menjalin silaturrahim. Amat jarang kita kenal pengguna media sosial yang mempunyai niat semata-mata mahu menjadi seorang pembeli.

Antara punca mereka yang gagal membina potensi pasaran adalah kerana terlalu kerap mahu menjual. Status dan pengisian senantiasa berbentuk iklan, promosi dan ‘hard sell’. Ini membuatkan rakan-rakan atau pengikut di media sosial merasa terganggu.

Antara panduan mengelakkan perkara tersebut berlaku adalah melalui strategi penceritaan. Terlebih dahulu anda perlu mengenal pasti tujuan atau mengapa anda menceburi sesuatu perniagaan itu. Selami manfaat produk yang boleh anda ceritakan secara ikhlas dalam membantu memenuhi keperluan prospek pasaran serta mengapa anda adalah individu selayaknya yang patut prospek pilih untuk berurusan.

Gunakan jawapan tersebut bagi membina penceritaan melalui status-status berinformatif sama ada di laman sesawang, blog dan media sosial sebagai jurnal berkongsi perspektif dan pengalaman kerjaya, testimoni pelanggan, malah input kekeluargaan dan sosial yang memberi nilai tambah terhadap perniagaan yang anda ceburi kepada prospek pasaran.

Strategi penceritaan membantu dalam memperkukuh hubungan pelanggan dan kepercayaan prospek secara berperingkat. Media sosial adalah laman bersosial, maka binalah reputasi pasaran dengan cara bersosial melalui perkongsian informasi dan ukhwah, bukan terus menjual.

Melalui penceritaan yang konsisten, pasti ada prospek yang berminat menjadi pe­langgan kerana percaya terhadap aspirasi keusahawanan dan perniagaan anda. Maka manfaatkan peluang itu de­ngan khidmat yang terbaik.

Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN