Sime Darby pertimbang senaraikan unit penjagaan kesihatan? - Utusan Malaysia

Sime Darby pertimbang senaraikan unit penjagaan kesihatan?

Penyenaraian di Bursa Malaysia mungkin berlaku seawal tahun hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu daripada konglomerat tertua negara, Sime Darby Bhd. dilaporkan berhasrat membuat penyenaraian berasingan unit penjagaan kesihatannya yang boleh meraih sekurang-kurangnya RM500 juta. 

Menurut laporan Bloomberg yang memetik individu yang rapat dengan perkara itu, Sime Darby telah mengadakan perbincangan dengan penasihat berpotensi bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk Ramsay Sime Darby Health Care Sdn. Bhd. 

Individu yang enggan dikenali kerana maklumat itu sulit berkata, penyenaraian di Bursa Malaysia mungkin berlaku seawal tahun hadapan. 

Sime Darby memiliki unit penjagaan kesihatannya itu secara bersama dengan pengendali hospital swasta terbesar Australia, Ramsay Health Care Ltd. 

Perbincangan masih pada peringkat awal dan perincian tentang penawaran termasuk saiz serta tempoh masa masih boleh berubah, kata individu berkenaan. 

Seorang wakil Sime Darby enggan memberikan komen mengenai perkara itu sambil menambah syarikat akan membuat pengumuman apabila perlu manakala wakil Ramsay Health Care pula mengatakan mereka tidak mempunyai sebarang kenyataan. 

Pengasingan perniagaan bukanlah sesuatu yang baharu bagi Sime Darby. 

Konglomerat itu telah menyenaraikan unit perladangan dan hartanahnya pada tahun 2017. 

Harga saham Sime Darby meningkat kira-kira 8.7 peratus tahun ini menjadikan nilai pasaran berada pada kadar AS$4 bilion (RM16.58 bilion). 

Sime Darby bercadang membelanjakan RM1 bilion setiap tahun bagi pengambilalihan dan pertumbuhan organik dengan memberi tumpuan memperluas perniagaan penjualan kereta mewah dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffri Salim Davidson, November lalu. 

Ramsay Sime Darby Health Care ditubuhkan pada tahun 2013 apabila Sime Darby dan Ramsay Health Care menggabungkan beberapa hospital di Asia Tenggara. 

Syarikat itu mengendalikan enam hospital premium di Malaysia dan Indonesia di samping sebuah kemudahan pembedahan di Hong Kong, berdasarkan kepada laporan tahunan Sime Darby. 

Pendapatan bersih perniagaan penjagaan kesihatan Sime Darby susut kira-kira 20 peratus kepada RM39 juta bagi tahun kewangan fiskal berakhir 30 Jun 2020 berbanding RM49 juta tahun lalu. 

Ia berikutan penurunan jumlah pesakit disebabkan penularan pandemik Covid-19 di samping rosot nilai sekali yang dilakukan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya