Perspective Lane mampu pulihkan FGV - Utusan Malaysia

Perspective Lane mampu pulihkan FGV

hasrat Perspective Lane mengambil alih sebahagian besar saham FGV dipandang positif penganalisis. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat Perspective Lane (M) Sdn. Bhd. untuk mengambil alih sebahagian besar saham FGV Holdings Berhad (FGV) dapat membantu syarikat perladangan itu untuk memulihkan prestasinya.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Perspective Lane berkeupayaan memanfaatkan asetnya dan aset FGV untuk mencapai skala ekonomi serta mengoptimumkan penggunaan kilang pemprosesan minyak sawitnya.

“Jika dilihat prestasi FGV tahun lepas, walaupun FGV masih mencatatkan kerugian tetapi peningkatan dapat dilihat apabila kerugian operasi pada 2019 hanya RM194 juta berbanding kerugian operasi pada tahun 2018 iaitu RM815 juta.

“Dengan pengambilalihan ini, FGV mampu mengurangkan lagi kerugiannya dan mula menca­tatkan keuntungan pada tahun ini atau tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perspective Lane yang sebelum ini terlibat dengan pengambilalihan Tradewinds Group dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyatakan hasrat untuk menyuntik aset perladangannya kepada FGV dan menjadi pemegang saham terbesar syarikat itu.

Hasrat itu dinyatakan melalui sepucuk surat bertarikh 12 Oktober, menurut makluman oleh FGV kepada Bursa Malaysia, Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berpandangan pengambilalihan itu juga akan memberi manfaat kepada Felda dan penerokanya apabila agensi itu akan mendapat pampasan hasil pengambilalihannya terhadap FGV, seterusnya boleh digunakan untuk mengurangkan hutang serta menumpukan usaha untuk menjaga kebajikan pe­neroka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN