KUALA LUMPUR: Pasaran saham indeks FBM KLCI dianggarkan mengalami kejatuhan kira-kira RM5 bilion daripada segi permodalan pemasaran sejak akhir September sehingga kini.
Walau bagaimanapun, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Adam Mohamed Rahim berkata, ekonomi Malaysia masih mampu bertahan meskipun berhadapan krisis berganda, iaitu krisis politik dan Covid-19.
“Berdasarkan data seperti Indeks Pengeluaran Industri yang meningkat sebanyak 0.3 peratus pada Ogos 2020 berbanding Ogos 2019, ekonomi Malaysia masih mampu menahan impak double whammy ini walaupun dengan kadar yang tidak begitu agresif.
“Daripada segi aktiviti perdagangan, lebihan eksport daripada import (imbangan dagangan) untuk lapan bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM3 bilion berbanding lapan bulan pertama tahun lalu.
“Dengan posisi Malaysia yang merupakan antara pengeluar sarung tangan terbesar dunia, permintaan untuk sarung tangan dari luar negara boleh memacu aktiviti eksport negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Krisis politik akibat ketidaktentuan kedudukan Perdana Menteri yang bermula hujung September lalu memberi tamparan hebat buat ekonomi negara yang sedia terkesan kerana peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 sejak lebih sebulan lalu.
Menurut Adam, krisis politik boleh menyebabkan ketidaktentuan dari segi pelaksanaan dasar sesebuah negara lalu menyebabkan para pelabur keluar dari pasaran Malaysia.
Data yang tercatat ternyata membimbangkan kerana menurut beliau, aliran keluar bersih dana asing dari Malaysia sudah mencecah lebih daripada RM20 bilion untuk tahun ini.
“Apabila pelaksanaan dasar mengalami ketidaktentuan, aktiviti ekonomi sukar untuk berjalan dengan lancar terutamanya yang melibatkan pembinaan infrastruktur,” katanya.
Untuk menyerap impak kedua-dua krisis tersebut kepada ekonomi, Adam berpendapat kerajaan perlu memberi perhatian kepada ketersampaian bantuan kepada kelompok yang betul-betul memerlukan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kerajaan perlulah prihatin terhadap rakyat dengan memastikan bantuan-bantuan yang telah dilancarkan seperti Bantuan Prihatian Negara (BPN) dapat disampaikan kepada golongan yang layak.
“Tambahan lagi, fokus perlu diberi kepada PKS kerana golongan ini menyumbang kira-kira 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya. – UTUSAN










