MAS teruskan misi penghantaran pulang warga terkandas - Utusan Malaysia

MAS teruskan misi penghantaran pulang warga terkandas

Sehingga kini, MAS telah mengendalikan 218 penerbangan penyelamatan dan penghantaran warga terkandas ke negara masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAS) meneruskan misi menyelamat dan membawa pulang warganegara yang terkandas kembali ke negara asal mereka walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Keadaan itu memberi peluang kepada syarikat penerbangan nasional berkenaan untuk terbang ke bandar-bandar baharu di luar rangkaian biasa, termasuk destinasi antarabangsa di seluruh Asia, Timur Tengah, Eropah dan Afrika seperti Cam Rahn, Sudan Selatan, Kaherah, Turkmenbashi, Turkmenabat, Dili, Nadi, dan Port Moresby yang mana terdapat beberapa penerbangan komersial tersedia.

Sehingga kini, syarikat penerbangan itu telah mengendalikan 218 penerbangan penyelamatan dan penghantaran pulang melalui perkhidmatan berjadual dan sewaan sejak Mac lalu, dengan menggunakan pesawat A380, A350, A330-300 dan B737-800.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAS, Ahmad Luqman Mohd. Azmi berkata, daripada 218 penerbangan, 168 adalah perkhidmatan penyewaan melalui kerjasama strategik dengan kementerian dan organisasi individu.

“Setakat ini, syarikat telah menerbangkan lebih 20,000 penumpang dengan selamat kembali ke orang tersayang.

“Ini merupakan pengalaman yang menarik bagi kami untuk beroperasi di pasaran-pasaran baharu walaupun dalam keadaan seperti ini, syarat-syarat kesihatan dan keselamatan serta kawalan sempadan yang ketat oleh negara masing-masing tidak berubah.

“Namun, hubungan aktif tetap terjalin dengan kedutaan, kementerian, agensi kerajaan, organisasi dan badan penguatkuasaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam tempoh sama, syarikat MAB Kargo Sdn. Bhd. (MASKargo) juga telah bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengangkut lebih 2,000 tan peralatan perubatan dan peruntukan bantuan bencana ke wilayah-wilayah di seluruh dunia.

“Ini termasuk ventilator, sarung tangan pembedahan, pakaian pengasingan steril dan pakaian perlindungan diri (PPE) dengan kacamata untuk pelbagai organisasi melalui lebih daripada 50 penerbangan penumpang ke kargo (P2C) dan kargo di kabin (CIC).

“CIC membolehkan syarikat penerbangan membawa muatan di tempat duduk, ruang penyimpanan ‘overhead’, almari dan di bawah tempat duduk bergantung pada ukuran kotak,” katanya.

Pasukan MASKargo berusaha keras untuk memastikan semua penghantaran dihantar mengikut jadual, yang mengakibatkan peningkatan secara beransur-ansur jumlah pengeluaran eksport syarikat.

Trend yang memberangsangkan ini telah meningkatkan jumlah angka hasil eksport pada Ogos 2020 telah menyamai tahap pra-Covid-19, yang disumbangkan oleh pembukaan kembali lebih banyak sektor ekonomi dan penggunaan penerbangan P2C untuk mengimbangi kehilangan kapasitinya.

Ahmad Luqman berkata, permintaan untuk peralatan perubatan di seluruh dunia menjadikan pesawat penerbangannya dan terminal kargo sibuk.

“Jadual pengiriman barang kami disesuaikan untuk memenuhi kehendak pelanggan. Walaupun penerbangan dalam rangkaian lebih rendah, kami terus menyokong rantai nilai perniagaan sehari-hari dan memastikan gangguan minimum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya