MAH minta pelepasan cukai - Utusan Malaysia

MAH minta pelepasan cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) meminta kerajaan memberi insentif dan pelepasan cukai lebih tinggi dalam Belanjawan 2021, bagi membantu industri pelancongan yang masih tenat akibat pandemik Covid-19.

Insentif lain termasuk pengkelasan semula tarif bekalan elektrik untuk sektor perhotelan di bawah tarif industri serta penstrukturan semula pelbagai lapisan cukai yang dikenakan ke atas sektor pelancongan termasuk oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Lip Seng berkata, cukai seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), cukai digital, pelancongan, hiburan, warisan, hotel, penggalakkan pelancongan dan lain-lain cukai, bukan sahaja membebankan pengendali dan pengusaha hotel tetapi juga pelancong domestik serta antarabangsa.

“Memandangkan keadaan industri hotel yang masih tenat, industri juga meminta kerajaan mengkaji semula cadangan untuk subsidi upah bersasar bagi sektor pelancongan, iaitu subsidi upah 50 peratus pekerja bergaji sehingga RM4,000 dan 30 peratus bergaji antara RM4,001 hingga RM8,000.

“Ia akan membantu hotel-hotel yang tidak mampu membayar gaji pekerja dan kemungkinan besar terpaksa memberhentikan pekerja atau tutup terus,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri sebelum ini dilaporkan berkata, sektor pelancongan masih terjejas teruk terutama sektor perhotelan berskala besar yang akan memerlukan masa untuk pulih kerana ia juga bergantung kepada kemasukan pelancong antarabangsa ke Malaysia.

Susulan itu, kata beliau, keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk mengurangkan kadar pengangguran, pekerja tempatan pula akan mendapat peluang pekerjaan semula menerusi inisiatif pemberian subsidi upah, latihan semula, meningkatkan kemahiran, menggalakkan perniagaan e-dagang dan ekonomi gig.

Mengulas lanjut, Lip Seng berkata, kerajaan perlu mengutamakan kawalan dan penguatkuasaan untuk mengekang pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti tanpa lesen atau permit seperti home-sharing dan Airbnb.

“Berdasarkan anggaran, (aktiviti tidak berlesan) menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan cukai perkhidmatan sekurang-kurangnya RM114 juta setahun, termasuk kehilangan pendapatan industri melebihi RM1.9 bilion setahun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin kerajaan akan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu untuk merangsang kembali ekonomi negara terutama industri yang terkesan dengan pandemik Covid-19 seperti sektor pelancongan dan perhotelan.

“Kami berharap melalui Belanjawan 2021 nanti kerajaan dapat mengutamakan keperluan pihak berkepentingan yang sah dan melindungi ekosistem pelancongan Malaysia daripada aktiviti-aktiviti pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN