KUALA LUMPUR: Felda seharusnya membantu FGV Holdings Berhad (FGV) dan tidak meneruskan persengketaan antara dua entiti tersebut kerana kedua-duanya saling bergantung antara satu sama lain.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, persengketaan yang berlaku menampakkan Felda seolah-olah mahu mengambil jalan mudah dan popular untuk mendapatkan sokongan peneroka.
“Dalam ekonomi, menjadi popular tidak boleh menjamin keuntungan. Kalau Felda ambil semula ladang itu tetapi tidak ada kepakaran untuk mengendalikannya, implikasinya lebih teruk.
“Sepatutnya Felda menumpukan kepada nilai tambah terhadap perkhidmatan dan produknya selain membantu FGV menjana pendapatan. Jika FGV untung, Felda juga dapat bahagiannya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut FGV, Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) Felda menetapkan bayaran tahunan sebanyak RM248 juta kepada Felda serta 15 peratus keuntungan operasi daripada tanah LLA.
Kelmarin, FGV menafikan dakwaan bahawa syarikat itu tidak membayar komitmen tahunannya kepada Felda dengan cukup.
FGV turut menegaskan, aset dalam LLA hanya melibatkan ladang-ladang dan tidak termasuk kilang-kilang sawit miliknya.
“Sekiranya Felda berhasrat ingin membeli kilang-kilang kelapa sawit FGV, ia harus berdasarkan ‘pembeli bersedia, penjual bersedia’ dan nilai pasaran semasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman membangkitkan soal sumber yang akan digunakan Felda bagi membayar pampasan untuk mengambil semula ladang-ladang FGV.
“Jika mereka mahu minta dana daripada kerajaan, ini tidak adil kerana kerajaan sedang memulihkan ekonomi. Seolah-olah mahu mengutamakan kepentingan Felda berbanding apa yang kerajaan perlu buat pula,” katanya.
Satu lagi implikasi yang perlu dilihat, menurut Ahmed Razman adalah impak pengambilan ladang-ladang tersebut kepada FGV yang jika merugikan, akan turut memberi kesan kepada pemegang sahamnya, termasuk Felda dan beberapa agensi pelaburan kerajaan.
“Jika ladang itu diambil, FGV akan sukar untuk membuat pemulihan kerana jika kita lihat, FGV telah berjaya mengurangkan kerugian tahun lepas. Mungkin tidak lama lagi mereka boleh buat keuntungan.
“Kemungkinan FGV akan kekal rugi jika ladang diambil. Ini akan beri dua kesan. Pertama, pemegang saham tidak ada dividen dan kedua, lebih teruk jika FGV bankrap,” katanya. -UTUSAN










