fbpx

LLA: Bayaran ikut saiz tanah – FGV

Felda memerlukan seku­rang-kurangnya 90 peratus saham FGV untuk membolehkan syarikat perladangan itu di­nyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia.

KUALA LUMPUR:  FGV Holdings Berhad (FGV) menjelaskan, mengikut Perjanjian Pajakan Tanah (LLA), syarikat itu perlu membayar RM248 juta serta 15 peratus keuntungan operasi LLA kepada Felda setiap tahun.

Bagaimanapun katanya, jumlah dibayar mula kurang daripada RM248 juta setahun seperti ditetapkan sejak 2016 kerana penyesuaian jumlah hektar tanah yang dipajakkan.

Penurunan bayaran tersebut juga disebabkan beberapa perkara termasuk pengambilan tanah oleh Felda, penyerahan tanah kepada Felda untuk tujuan perlombongan, pencerobohan ke tanah pihak ketiga, pertindihan tanah kilang serta proses perdamaian hak milik tanah dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem).

Bermula 2016, pembayaran pajakan tetap oleh FGV kepada Felda mengikut Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) berada di bawah paras RM248 juta dengan bayaran RM240.1 juta pada 2016, RM244.1 juta (2017), RM243.9 juta (2018), RM243.8 juta (2019) dan unjuran RM243.7 juta pada 2020.

Perkongsian keuntungan sebanyak 15 peratus hasil tanah LLA juga kurang memberangsangkan sejak beberapa tahun lampau apabila mencatat RM50.1 juta pada 2016, RM71.3 juta (2017), RM8.3 juta (2018), tiada perkongsian keuntungan pada 2019 dan unjuran RM43.4 juta 2020.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini menyatakan hasrat Felda untuk mengambil semula kira-kira 350,000 hektar tanah yang dipajakkan kepada FGV melalui LLA.

Walau bagaimanapun, menurut FGV, Felda masih belum menghubungi pihaknya tentang perkara tersebut setakat semalam.

FGV turut menjelaskan, LLA yang ditandatangani pada 1 November 2011 menetapkan bahawa aset-aset yang terlibat adalah ladang-ladang tidak termasuk tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda sedia ada dan kilang-kilang kelapa sawit milik FGV.

“Pada masa ini, keluasan tanah Felda berjumlah lebih daripada 850,000 hektar dan tanah yang dimiliki oleh peneroka Felda berjumlah 450,632 hektar.

“Tanah milik Felda yang dipajakkan kepada FGV berjumlah 350,733 hektar,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, hasrat Felda untuk mengambil alih tanah LLA mendapat sokongan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hassan yang turut mencadangkan Felda untuk mengambil alih 68 kilang pemprosesan sawit milik FGV.

Walau bagaimanapun, FGV telah menegaskan sebelum ini bahawa LLA hanya melibatkan ladang-ladang dan jika Felda mahu mengambil alih kilang sawit miliknya, ia perlu berdasarkan konsep ‘pembeli bersedia, penjual bersedia’ dan dinilai mengikut pasaran semasa. –  UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN