KUALA LUMPUR: Langkah pengurangan waktu bekerja dalam sehari oleh kerajaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri akan menjejaskan produktiviti dan menyebabkan sektor komersial terganggu.
Penganalisis Ekonomi dan Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berpendapat, kesan produktiviti paling terganggu di kilang pembuatan kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi kerana pengeluaran dan penggunaan jadi berkurangan.
“Tetapi jika kilang-kilang meneruskan operasi dan pekerja bekerja mengikut jam seperti kebiasaan, ia tidak akan mengganggu pengeluaran dan produktiviti.
“Ini kerana, aktiviti atau pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah, ia tidak banyak menjejaskan produktiviti berbanding pengilangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, PKPB mengehadkan pergerakan dan pengurangan jam bekerja, maka aktiviti penggunaan seperti pembelian barangan, aktiviti rekreasi, makan dan minum di restoran serta aktiviti hiburan tidak digalakkan dalam tempoh yang panjang.
“Ini sekali gus menjejaskan aspek penggunaan iaitu melibatkan barangan dan perkhidmatan yang mengganggu sektor komersial terutama pusat beli-belah, pasaraya dan kedai-kedai yang menjalankan perniagaan kerana kekurangan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr. Abdul Halim Husin berkata, pengurangan jam bekerja dilihat tidak efektif kerana tetap akan mewujudkan kontak sesama pekerja jika jumlah pekerja ramai di tempat kerja malah tiada penjarakan fizikal dilakukan.
“Tidak dinafikan dengan mengurangkan jam bekerja dapat mengurangkan risiko tetapi jumlah empat jam tidak membantu syarikat dan akan mengakibatkan banyak penangguhan kerja, sekali gus menurunkan produktiviti kerja.
“Apa yang perlu dipraktikkan adalah syarikat atau perniagaan boleh mengurangkan pekerja pada satu-satu masa bagi memastikan langkah penjarakan fizikal dipatuhi dengan jumlah jam bekerja seperti kebiasaan,” katanya.
Ujarnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga-peniaga tidak banyak terjejas dengan pengurangan jam bekerja kerana ia hanya melibatkan pihak pengurusan dan langkah itu memberi sedikit kelegaan buat mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. – UTUSAN










