Industri hospitaliti perlu bantuan - Utusan Malaysia

Industri hospitaliti perlu bantuan

Industri hospitaliti dan pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, memerlukan bantuan untuk terus beroperasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Pra Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR: Industri hospitaliti memerlukan bantuan kewangan dalam mengurangkan kos dan menyelesaikan isu aliran tunai sehingga pelancongan antarabangsa dibuka semula.

Ketua Malaysia dan Si­ngapura, OYO Hotels & Homes, Tan Ming Luk berkata, penyediaan bantuan kewangan sangat diperlukan oleh industri hospitaliti bagi memberi peluang pengusaha memulih dan memikirkan semula tentang masa depan pelancongan.

Sehubungan itu, Ming Luk berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengecua­lian sementara ke atas semua cukai jualan dan perkhidmatan, yuran pelesenan untuk setahun serta penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada industri berkenaan.

“Kami berharap pengecua­lian cukai dapat ditangguhkan sehingga Disember 2020 bagi membantu dari segi kos kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor ini.

“Bagi membantu aliran tunai pula, kami memohon kerajaan melanjutkan juga Program Subsidi Upah hingga Mac 2021, dan pengurangan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan daripada 12 peratus kepada 8 peratus hingga Mac 2021 atau sehingga vaksin boleh didapati,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, kerajaan juga harus merangsang perniagaan PKS dan usahawan mikro yang berkaitan dengan pelancongan dalam jangka pendek dan sederhana.

“Pendekatan terbaik untuk tujuan itu bukanlah menerusi percukaian tetapi sebaliknya menerusi peruntukan lebih banyak manfaat bersasar.

“Untuk itu, kami mencadang­kan satu insentif kewangan dalam bentuk baucar pelancongan digital bernilai RM200 untuk digunakan di hotel-hotel dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong di dalam negara bagi menyokong perniagaan berkaitan hospitaliti dan pelancongan.

“Kami mengesyorkan agar setiap orang layak menerima baucar bernilai RM150 untuk penginapan dan RM50 bagi pengalaman,” katanya.

Jelasnya, cadangan baucar itu harus diberikan dalam denominasi kecil bagi menggalakkan penerima bermalam di penginapan bajet serta nilai purata kadar bilik adalah antara RM50 hingga RM80 satu malam.

“Kos untuk keseluruhan langkah ini dianggarkan berjumlah RM4.2 bilion iaitu bagi 21 juta penduduk berusia 18 tahun dan ke atas untuk setiap baucar RM200.Ia sekali gus dapat menambah lebih daripada RM25.2 bilion kepada industri pelancongan berdasarkan kepada kesan penggandaan 6.5 kali ganda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN