Identiti baharu airasia.com diperkenal - Utusan Malaysia

Identiti baharu airasia.com diperkenal

TONY Fernandes
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Airasia.com memperkenalkan identiti baharu iaitu sebuah aplikasi, super ASEAN sekali gus melengkapkan proses transformasi Kumpulan AirAsia daripada sebuah syarikat penerbangan digital kepada platform gaya hidup komprehensif untuk semua.

Sebagai permulaan era baharu Kumpulan AirAsia, aplikasi super airasia.com menawarkan pengalaman pengguna yang lebih mudah, pantas dan lancar untuk mengakses lebih daripada 15 jenis produk dan perkhidmatan di bawah tiga kategori utama iaitu perjalanan, e-dagang dan teknologi kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat itu adalah syarikat untuk semua yang telah merevolusikan industri penerbangan sejak 19 tahun lalu serta merealisasikan impian berjuta-juta orang untuk terbang.

Menurut Tony, AirAsia berbangga menjadi peneraju dalam menghubungkan rantau ASEAN, menawarkan nilai, kemudahan dan keterangkuman untuk semua.

Beliau berkata, menerusi airasia.com, syarikat itu bukan sahaja menawarkan penerbangan tetapi juga penginapan, beli-belah, makanan dan banyak lagi semuanya dalam satu aplikasi super.

“Kami tidak mensia-siakan krisis yang berlaku ini sebaliknya mencari peluang untuk menaik taraf platform kami, pengalaman pengguna dan kemudahan pembayaran dengan satu klik sahaja.

“Pengembangan perniagaan digital juga membolehkan kami menawarkan pelbagai produk di airasia.com daripada penerbangan hingga gaya hidup.

“Seperti AirAsia, airasia.com akan menjadi sebuah jenama aplikasi super ASEAN terbaik untuk melengkapi perjalanan anda. Saya tidak sabar untuk melihat semua orang menggunakan airasia.com dan menikmati tawaran sepenuhnya apabila kita boleh kembali melakukan perjalanan,” katanya dalam kenyataan.

AirAsia turut memperkenalkan jualan airasia.com Super Sale yang pertama untuk menggantikan jualan Tempat Duduk Percuma AirAsia yang popular sebelum ini.

Jualan terbesar di rantau ini akan berlangsung bermula 12 Oktober hingga 18 Oktober ini dengan diskaun hingga 90 peratus dalam semua kategori produk di aplikasi super airasia.com dan laman airasia.com.

Sementara itu, pelanggan juga boleh menikmati diskaun hingga 90 peratus untuk pakej SNAP (penerbangan dan hotel) daripada RM88 seorang; diskaun hingga 90 peratus untuk membeli-belah di airasia shop; diskaun hingga 50 peratus untuk pelbagai makanan di airasia food dan airasia fresh menerusi aplikasi tersebut.

Pelanggan juga boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus untuk semua penerbangan domestik di Malaysia dan 10 peratus untuk syarikat penerbangan lain ke lebih 3,000 destinasi seluruh dunia; diskaun hingga 30 peratus untuk pelbagai aktiviti, diskaun hingga 20 peratus untuk hotel; diskaun 20 peratus untuk Promosi Tanpa Had dan banyak lagi.

Istimewa untuk pelanggan Muslim, mereka boleh nikmati diskaun 10 peratus untuk perkhidmatan aqiqah antarabangsa dan aqiqah Mekah menerusi IKHLAS.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan berkata, pelancaran aplikasi super airasia.com adalah bukti budaya inovasi berterusan AirAsia dan dorongan untuk terus memberikan nilai terbaik kepada pelanggan.

“Dalam era baharu pasca Covid-19 ini, kami memahami keperluan fleksibiliti perjalanan, justeru kami melancarkan Pas Tanpa Had AirAsia yang inovatif dengan menawarkan pas penerbangan yang boleh ditebus kemudian dan telah menjadi ikutan pemain industri lain.

“Kami turut memahami keinginan pelanggan untuk melancong dan telah melancarkan SNAP, pakej penerbangan dan hotel dengan harga terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya