GM kembang pengeluaran kereta elektrik - Utusan Malaysia

GM kembang pengeluaran kereta elektrik

Pekerja di kilang GM Michigan, Amerika Syarikat, menjalankan kerja-kerja pemasangan kenderaan ketika syarikat terbabit dilaporkan mahu mengembangkan pengeluaran kenderaan elektrik. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DETROIT: Pengeluar kereta Amerika Syarikat (AS), General Motors Co. (GM) dijangka me­ngumumkan pelaburan besar bagi memperluas pengeluaran kenderaan elektrik di kilang terletak di Spring Hill, Tennessee dan lokasi berpotensi lain.

GM dalam satu kenyataan semalam berkata, ia bakal membuat pengumuman berkaitan pelaburan pembuatan utama AS itu dalam waktu terdekat.

Menurut Reuters yang memetik The Detroit News, pengeluar kereta itu merancang memulakan operasi membina kende­raan utiliti sukan (SUV) Cadillac Lyriq elektrik di kilangnya di Tennessee.

AutoForecast Solutions yang mengikuti perancangan pengeluaran industri menjangkakan Lyriq bakal dilancarkan pada akhir 2022.

AutoForecast turut menjangka GM mengumumkan bahawa pengeluaran beberapa model kenderaan elektriknya dilaksanakan di kilang syarikat itu di Mexico.

Rancangan pelaburan pengeluar kenderaan itu hadir dalam tempoh dua minggu lagi sebelum Pilihan Raya Presiden AS dengan Donald Trump dan pesaingnya dari Parti Demokrat, Joe Biden berusaha mendapatkan sokongan daripada pekerja sektor automotif di negeri yang terletak di wilayah Midwestern.

Ketua Eksekutif GM, Mary Barra sebelum ini telah mengeluarkan rancangan untuk me­labur AS$20 bilion (RM82.91 bi­lion) dalam teknologi bateri dan kenderaan elektrik baharu.

GM turut merancang membelanjakan AS$2.5 bilion (RM10.36 bilion) untuk merombak dan membina semula kilang Detroit-Hamtramck bagi menghasilkan trak pikap elektrik GMC Hummer EV iaitu sebuah roboteksi automatik dan kenderaan lain.

Kilang tersebut telah dinamakan semula secara rasmi sebagai Factory Zero, Jumaat lalu merujuk kepada hasrat Barra bagi ‘tiada kemalangan, tiada pelepasan dan tiada pencemaran’.

Ketika ini, GM sedang membina model Chevrolet Bolt elek­triknya di kilang pemasangan besar yang terletak di pinggir bandar utara Detroit.

Pada masa sama, GM turut melabur dalam trak pikap menggunakan petrol dan SUV dengan sebahagian besar keuntungan diperlukan oleh pengeluar kenderaan itu bagi membiayai program kenderaan elektriknya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya