Beku lesen baharu kurier - Utusan Malaysia

Beku lesen baharu kurier

Pembekuan lesen baharu perkhidmatan kurier dikatakan berdepan dengan trend perniagaan dalam talian yang semakin berkembang, terutama dalam tempoh pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membekukan (moratorium) pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier selama dua tahun bermula 14 September lalu sehingga 15 September 2022.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, keputusan tersebut dibuat dengan persetujuan Menteri Komunikasi dan Multimedia menerusi kuasa pe­lesenan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012.

Bagaimanapun permohonan yang dite­rima sebelum tarikh kuat kuasa itu dan permohonan pembaharuan lesen sedia ada akan diproses untuk kelulusan, jelasnya.

“Setakat Oktober ini, terdapat 109 pemegang lesen perkhidmatan kurier pelbagai kategori yang beroperasi di Malaysia.

“Moratorium dilaksanakan untuk memberi laluan kepada kerajaan bersama industri pos dan kurier membuat perancangan baharu bagi memperkukuh sektor tersebut yang berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran,” jelas SKMM dalam kenya­taan di sini semalam.

SKMM memberitahu, langkah itu sejajar gesaan rasmi yang dihantar Persatuan Syarikat Penghantar Ekspress Malaysia (AMEC) sejak Ogos lalu.

Katanya, AMEC ialah gabungan 25 syarikat kurier utama di negara ini termasuk City-Link Express (M) Sdn. Bhd., GD Express Sdn. Bhd. dan Pos Malaysia.

Jelas SKMM, proses merangka pelan tindakan baharu akan dilaksanakan menerusi penganjuran Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) yang bakal berlangsung selama tiga minggu, bermula 2 sehingga 22 November ini.

“Apabila siap nanti, laporan penuh yang mengandungi cadangan pelan tindakan bagi menyokong aspirasi pembangunan strategik industri pos dan kurier baharu itu akan dimuat naik dalam laman sesawang SKMM untuk rujukan semua.

“Hasil NPCIL penting untuk industri yang menjadi teras kepada aktiviti e-dagang dan pembangunan ekonomi digital yang menghadapi pelbagai cabaran baharu dicetuskan oleh ledakan teknologi yang mengakibatkan pencantuman sektor logistik, platform e-dagang, e-hailing dan sistem transaksi kewangan,” katanya.

Katanya, kajian terakhir me­ngenai industri pos dan kurier dilakukan pada 2009.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tindakan kerajaan itu mengejutkan kerana ia bertentangan dengan trend dunia ketika ini yang tertumpu kepada perniagaan dalam talian.

Kata beliau, kerajaan tidak sepatutnya membekukan permohonan lesen baharu sebaliknya menggalakkan syarikat-syarikat baharu menyertai perkhidmatan kurier yang kini mendapat permintaan tinggi kerana norma baharu kehidupan dalam pandemik Covid-19.

“Sektor logistik terutamanya kurier kini seperti cendawan tumbuh selepas hujan kerana pandemik dan (kecenderungan) perniagaan untuk beroperasi dalam talian. Syarikat ini memerlukan sokongan daripada segi logistik dan perkhidmatan kurier ini salah satunya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya