KUALA LUMPUR: Walaupun dianggap sebagai ‘pembuka pintu’ pelancongan negara, sektor penerbangan tempatan terpaksa berhadapan realiti paling menakutkan apatah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan antarabangsa yang masih dikuatkuasakan.
Satu demi satu syarikat penerbangan dilaporkan berada dalam situasi genting hingga terpaksa menstrukturkan semula syarikat atau berhadapan mimpi ngeri terpaksa gulung tikar.
Terbaharu, Malindo Airways Sdn. Bhd. dilaporkan akan memberhentikan lebih separuh daripada tenaga kerja selain mengurangkan pemilikan pesawat sedia ada.
Syarikat itu bakal memberhentikan 2,200 pekerja daripada 3,200 tenaga ketika ini dan mengurangkan pesawat kepada hanya lima Boeing 737 dan enam ATR turboprops sahaja.
Sebelum itu, AirAsia Bhd. mengumumkan akan memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya.
Keputusan itu dilakukan untuk mengecilkan operasi bagi menghadapi tempoh sukar dengan langkah berkenaan merupakan kali kedua dilaksanakan AirAsia selepas kira-kira 300 kakitangan terpaksa diberhentikan awal Jun lalu.
AirAsia awal-awal lagi telah merancang untuk meraih RM2.4 bilion menerusi pinjaman dan juga terbitan ekuiti dalam usaha memastikan aliran tunai berjalan lancar.
Anak syarikatnya, AirAsia X turut mengambil langkah mencadangkan penstrukturan semula termasuk hutang kira-kira RM63.5 bilion yang ditanggung ketika ini.
Pada 2 Oktober lalu, Malaysia Aviation Group (MAG) iaitu syarikat induk penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd. dalam surat kepada pemberi pinjaman memaklumkan Kumpulan itu mungkin tidak dapat membuat pembayaran hutang selepas November kecuali jika menerima suntikan lebih banyak dana daripada Khazanah Nasional Bhd.
Dengan berbilion hutang yang terpaksa ditanggung, Malaysia Airlines juga terpaksa menelan pahit apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan menyuntik sebarang dana lagi kepada syarikat itu.
Lebih menyedihkan, Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Izham Ismail juga tidak menolak kemungkinan Malaysia Airlines terpaksa menamatkan operasi sekiranya pemberi pinjaman tidak menyokong pelan penstrukturan semula terbaharu syarikat itu.
Dalam satu laporan berita pula, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan tidak menolak kemungkinan untuk menamatkan pembiayaan kepada Malaysia Airlines dan menyalurkan untuk Firefly sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional.
Walau bagaimanapun, ia dilihat sebagai pilihan terakhir sayap pelaburan kerajaan itu sekiranya rundingan dengan pemiutang dan pemajak pesawat tidak mencapai kata putus untuk proses pemulihan Malaysia Airlines.
Jika dilihat kepada statistik, prestasi buruk industri penerbangan berterusan sehingga separuh pertama tahun ini dengan data Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) menunjukkan kemerosotan sehingga 98 peratus atau hanya 724,000 penumpang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan Asia pada Jun lalu berbanding 31.8 juta bulan sama 2019. – UTUSAN










