Alibaba labur AS$3.6b kuasai Sun Art - Utusan Malaysia

Alibaba labur AS$3.6b kuasai Sun Art

Pelaburan Alibaba di Vietnam bertujuan mengembangkan perniagaan dalam taliannya di rantau Asia Tenggara. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Alibaba Group Holding Ltd. dilaporkan bakal melabur kira-kira AS$3.6 bilion (RM14.92 bilion) untuk menggandakan kepentingannya dalam Sun Art Retail Group Ltd.

Keputusan menguasai satu daripada syarikat pasar raya terbesar China itu hadir bagi menangkis cabaran pesaing seperti JD.com Inc. dalam segmen e-dagang yang makin berkembang.

Alibaba akan meningkatkan kepentingan langsung dan tidak langsungnya dalam syarikat rantaian runcit itu kepada 72 peratus dengan memperoleh saham daripada Auchan Retail International SA.

Dalam masa yang sama, Alibaba bakal membuat tawaran awam kepada pemegang saham bagi membeli baki saham Sun Art.

Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba, Daniel Zhang telah pun melakukan usaha pengemba­ngan dalam perniagaan runcit sebagai strategi pertumbuhannya, usaha yang dianggap membuahkan hasil dalam tempoh penularan Covid-19.

Sun Art mengendalikan beratus-ratus pasar raya besar seluruh China di bawah jenama Auchan dan RT-Mart iaitu rangkaian pengedaran dan penyimpanan besar yang akan melengkapkan usaha Alibaba dalam penghantaran barangan runcit.

Gergasi e-dagang China itu sedang bergelut dengan persaingan yang semakin sengit daripada JD, syarikat penghantar makanan Meituan dan syarikat permulaan Missfresh yang disokong Tencent Holdings Ltd.

Penganalisis HSBC menjangkakan, pasaran barangan runcit dan segar berkembang 2.5 kali ganda kepada 690 bilion yuan (RM426.99 bilion) menjelang 2022 dengan Alibaba merupakan antara pelopor segmen itu selepas mengumumkan pengambilalihan 36 peratus kepentingan bernilai AS$2.9 bilion (RM12.02 bilion) dalam Sun Art pada 2017.

Penyata kewangan Sun Art akan digabungkan menjadi syarikat yang lebih besar selepas Alibaba menyempurnakan pembelian saham majoriti sekali gus membuatkan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Art, Peter Huang memegang jawatan Pengerusi perniagaan tersebut.

Zhang telah terlibat secara langsung dalam pengemba­ngan syarikat kepada strategi peruncitan baharu termasuk membantu melancarkan sebuah start-up dinamakan Freshippo iaitu syarikat di bawah Alibaba yang menyasarkan aplikasi menggabungkan kedai runcit, restoran dan penghantaran.

Perniagaan tersebut mendapat sokongan, dengan ke­seluruhan bahagian peruncitan baharu berkembang sehingga AS$12 bilion (RM49.75 bilion), sekali gus menjadi penyumbang kelima terbesar dari segi pendapatan kepada syarikat pada suku kedua lalu.

Segmen barangan runcit dalam talian telah melonjak semasa tempoh Covid-19 dengan pembeli menghindari restoran dan kedai fizikal, sementara industri yang memerlukan struktur logistik kompleks terbukti sukar ditembusi dalam beberapa tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya