AirAsia, MAS berisiko bankrap, Kedua-dua syarikat harapkan suntikan modal - Utusan Malaysia

AirAsia, MAS berisiko bankrap, Kedua-dua syarikat harapkan suntikan modal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pener­bangan AirAsia yang terjejas te­ruk akibat Covid-19 berdepan risiko bankrap sekiranya tidak me­nerima suntikan modal tambahan pemegang saham atau pe­labur, selain tidak mendapat pinjaman institusi perbankan ba­gi meneruskan operasinya.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, peningkatan kes Covid-19 tetap memberi kesan negatif kepada ekonomi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan.

Menurut beliau, peningkatan berterusan Covid-19 menyebabkan orang ramai tidak mahu keluar beli-belah atau melancong yang akhirnya mengakibatkan pendapatan sektor perniagaan, pe­lancongan dan hospitaliti ke­kal terjejas.

“Bagi industri penerbangan, jika tiada suntikan modal tambahan atau jika tidak mendapat pinjaman, syarikat tersebut ada kemungkinan berdepan risiko bankrap.

“Bagi Malaysia Airlines (MAS) pula, nasib mereka 100 peratus bergantung kepada Khazanah (Kha­zanah Nasional Berhad) sa­ma ada mahu terus menyuntik mo­dal atau menutup operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, AirAsia dilaporkan akan melaksanakan pusingan kedua pengurangan kakitangan untuk memastikan syarikat mampu terus beroperasi, setelah usahanya mendapatkan suntikan dana lebih RM2 bilion belum berhasil.

Menurut laporan media, syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia X turut akan melakukan pengurangan tenaga kerja, termasuk pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penutupan AsiaAsia Jepun adalah antara pilihan sekiranya operasi syarikat itu gagal diselamatkan.

Syarikat induk MAS iaitu Malaysia Aviation Group (MAG) dalam surat kepada pemberi pinjaman pula memaklumkan tidak dapat membayar hutang selepas November kecuali menerima suntikan dana lebih banyak daripada Khazanah.

MAS mengumumkan akan melaksanakan penyusunan semula operasi kecemasan dengan mengkaji semula rancangan perniagaan jangka panjang (LTBP) bagi kekal relevan.

Khazanah dalam reaksinya menyokong penuh usaha penyusunan semula tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, sekiranya industri penerbangan terjejas, ekonomi negara turut terkesan kerana sektor penerbangan penting untuk urusan pengangkutan kargo serta pergerakan rakyat dalam pelbagai urusan.

“Justeru, bagi mengelak berlakunya rantaian kesan negatif ke atas ekonomi, sewajarnya kerajaan menyelamatkan satu syarikat penerbangan supaya fungsi pengangkutan dan pergerakan rakyat boleh diteruskan,” katanya.

Selain itu, beliau berpendapat, syarikat penerbangan tempatan juga harus lebih kreatif dan inovatif bagi menjana pendapatan seperti mempromosikan penerbangan tanpa destinasi atau restoran bertemakan penerbangan seperti dilakukan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN