AES, PetroVietnam jalin kerjasama - Utusan Malaysia

AES, PetroVietnam jalin kerjasama

Kerjasama antara AES dan PetroVietnam membolehkan syarikat Amerika Syarikat itu mengeksport berbilion dolar LNG setiap tahun ke Vietnam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: AES Corp. akan menandatangani perjanjian dengan PetroVietnam untuk membangunkan terminal import gas asli cecair (LNG) dan sebuah jana kuasa di Vietnam.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo berkata, perjanjian tersebut merupakan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak memandangkan ia akan membuka pintu untuk import berbilion dolar LNG ke Vietnam setiap tahun.

“Vietnam telah memberikan kebenaran untuk AES Corp., syarikat yang berpangkalan di Virginia untuk meneruskan projek tersebut,” katanya dalam Forum Perniagaan Indo-Pasifik yang diadakan secara maya.

Forum tersebut yang turut dihadiri rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Binh Minh berlangsung ketika AS me­ningkatkan retoriknya menentang pengaruh serantau syarikat milik China.

“Syarikat AS bertindak mengikut lunas undang-undang dan ketelusan serta mempunyai piawaian kualiti yang sangat tinggi untuk produk-produknya.

“Saya berkata demikian kera­na ia agak berlawanan dengan syarikat-syarikat yang dimiliki China,” kata Pompeo.

Vietnam sedang membina banyak jana kuasa LNG, dengan yang pertama akan mula beroperasi pada 2023.

Ia merupakan langkah yang bakal menyaksikan LNG menjadi sumber tenaga utama untuk ekonominya yang pesat membangun.

Kebanyakan gas tersebut akan diimport dari AS yang mahu merapatkan defisit daga­ngannya dengan Vietnam yang kini melebar sehingga AS$44.3 bilion (RM184.40 bilion) untuk sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding AS$33.96 bilion (RM141.36 bilion) untuk tempoh sama tahun lalu.

Dalam forum tersebut, Delta Offshore Energy turut merea­lisasikan rancangan perjanjian bernilai AS$3 bilion (RM12.49 bilion) dengan Bechtel Corp., General Electric dan McDermott untuk membangunkan jana kuasa LNG berkuasa 3.2 gigawatt di daerah Bac Lieu, menurut Kedutaan Hanoi di AS. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya