Soalan yang lazim disoal, adakah wang kita selamat disimpan di bank? Jawapan yang lazim kita dengar ialah simpanan tersebut akan sentiasa selamat kerana ianya dijamin kerajaan.
Hakikatnya, ‘jaminan’ yang diberikan itu adalah suatu bentuk perlindungan yang disediakan oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).
PIDM adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 2005 dan diurus oleh sekumpulan tenaga pakar termasuklah mereka yang mahir di dalam bidang pengurusan risiko. PIDM juga diterajui oleh ahli lembaga pengarah yang sangat berpengalaman termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha
Perbendaharaan. PIDM mentadbir dua bentuk sistem pelindungan, meliputi sistem yang melindungi duit para pendeposit di institusi perbankan Islam dan konvensional. Ia juga mentadbir sistem yang melindungi manfaat pemilik sijil takaful dan polisi insurans.
PIDM sebenarnya melengkap dan menyokong fungsi Bank Negara Malaysia dalam memastikan kestabilan sistem kewangan di Malaysia. Dengan perlindungan ini, apabila ia memenuhi syarat yang ditetapkan, jumlah yang dilindungi adalah sehingga RM250,000 bagi setiap akaun deposit di institusi perbankan. Bagi pemilik sijil takaful atau polisi insurans pula, skim PIDM akan melindungi sehingga RM500,000 manfaat sijil atau polisi tersebut.
Tujuan utama skim-skim ini diwujudkan adalah bagi memastikan hak-hak pengguna dilindungi dan terjaga sekiranya berlaku kegagalan operasi pihak bank, pengendali takaful dan syarikat insurans.
PIDM disokong oleh bank-bank, pengendali takaful dan syarikat insurans yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Institusi-institusi kewangan ini juga adalah merupakan ahli kepada PIDM. PIDM berupaya melaksanakan mandatnya untuk melindungi para pengguna melalui premium dan levi tahunan yang dibayar terus oleh ahli-ahli PIDM.
Pendeposit dan pemilik sijil takaful atau polisi insurans, tidak perlu membayar apa-apa kepada PIDM untuk memperolehi manfaat pelindungan tersebut. Dengan adanya PIDM, ‘jaminan’ yang diterima bukan sahaja terhad kepada produk di bank-bank sahaja, malah turut merangkumi produk-produk takaful dan insurans. – UTUSAN










