United Airlines buang lebih 16,000 pekerja, diberhenti tanpa gaji - Utusan Malaysia

United Airlines buang lebih 16,000 pekerja, diberhenti tanpa gaji

PENULARAN wabak Covid-19 menjejaskan kebanyakan syarikat penerbangan termasuk United Airlines yang mahu memberhentikan lebih ramai pekerja jika tidak mendapat bantuan daripada kerajaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO: United Airlines mencadangkan menamatkan kira-kira 16,370 pekerja apabila program bantuan kerajaan untuk syarikat penerbangan itu tamat pada Oktober ini.
United Airlines telah mene­rima AS$5 juta (RM20.71 juta) dalam bentuk bantuan gaji dan pinjaman.

Syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat (AS) itu berkata, apabila bantuan persekutuan berakhir pada 1 Oktober nanti akan lebih banyak pekerja berpotensi diberhentikan tanpa bayaran.

Langkah pemberhentian itu menjejaskan ramai pekerja termasuk 6,920 pramugari, 2,850 juruterbang, 2,010 mekanik serta 1,400 kakitangan pengurusan dan pentadbiran.

Kesatuan pekerja memberitahu, kira-kira 14,000 kakitangan tidak akan mendapat gaji pada Oktober ini kecuali kerajaan meneruskan bantuan bernilai AS$25 bilion (RM103.56 bilion).

Bantuan tersebut merangkumi bayaran gaji pekerja syarikat penerbangan akan berakhir bulan ini, namun perbincangan terhenti ketika kerajaan berusaha mencapai persetujuan mengenai pakej bantuan yang lebih luas.

Presiden Persatuan Atendan Penerbangan-CWA International, Sara Nelson berkata, kerajaan hanya menumpukan pemberian penjagaan kesihatan tetapi tidak menyalurkan dana.

United Airlines yang berpangkalan di Chicago mempunyai lebih 90,000 pekerja sebelum pandemik Covid-19 dan hampir menyebabkan industri itu terhenti pada Mac lalu.

Pada Julai lalu, sebanyak 36,000 pekerja syarikat pe­nerbangan itu berisiko ditamatkan secara sukarela susulan kekurangan permintaan terhadap perjalanan udara.

Syarikat penerbangan AS secara kolektif kehilangan lebih AS$5 bilion (RM20.71 bilion) sebulan berikutan 30 peratus pesawat tidak beroperasi, manakala permintaan perjalanan udara turun kira-kira 70 peratus.

Sementara itu, pegawai di United Airlines berkata, kira-kira 7,400 pekerja syarikat penerbangan te­lah memilih untuk mengambil pakej persaraan awal atau pelepasan dan syarikat sedang berusaha melalui beberapa program cuti sementara untuk mengurangkan lagi jumlah kakitangan.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu turut merancang memanggil semula kakitangan selepas operasi penerbangan kembali pulih.

Minggu lalu, pesaing American Airlines itu menyatakan akan menamatkan 19,000 pekerja jika tanpa bantuan kerajaan pusat. Syarikat bercadang mengurangkan 30 peratus jumlah pekerjanya sebelum pandemik berjumlah 140,000 orang.Delta Air Lines turut merancang memberhentikan hampir 2,000 juruterbang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya