Projek CVIA tarik pelaburan hampir RM1 bilion - Utusan Malaysia

Projek CVIA tarik pelaburan hampir RM1 bilion

MUSTAPA Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan pelabur tempatan dan asing telah menunjukkan minat untuk melabur dalam projek pembangunan Lembah Chuping (CVIA) di Perlis membabitkan nilai hampir RM1 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, empat adalah pelabur tempatan dalam kluster halal dan pendidikan yang dijangka akan membawa anggaran pelaburan sebanyak RM415 juta.

Beliau berkata, pelaburan tersebut bakal mewujudkan 500 peluang pekerjaan terdiri daripada 150 pekerja mahir dan 350 pekerja separa mahir dalam bidang kesihatan.

Sementara itu, katanya, untuk pelaburan langsung asing (FDI) pula, terdapat empat pelabur dalam kluster elektrik dan elektronik (E&E) dan teknologi hijau.

“Anggaran jumlah FDI ini adalah sebanyak RM553.6 juta dengan 5,100 peluang pekerjaan bakal diwujudkan merangkumi 1,350 pekerjaan mahir dan 3,570 pekerjaan separa mahir dalam bidang E&E,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Mustapa, projek CVIA telah diluluskan pada 2016 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan peruntukan berjumlah RM197.9 juta.

Projek itu merangkumi pembangunan Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC), kerja-kerja tanaga, sistem rangkaian jalan raya, perparitan, bekalan air, pembentungan, bekalan elektrik dan telekomunikasi.

Kata Mustapa, dua komponen utama projek CVIA adalah Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) dan kawasan perindustrian yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.

“IBC dengan kos RM40 juta telah siap dibina di atas tanah seluas 5.25 ekar dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran, operasi serta pemasaran bagi memudahkan para pelabur berurusan di CVIA,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini terdapat beberapa penyewa terdiri daripada pelabur-pelabur dalam bidang pengujian elektrik seperti Tessolve Sdn. Bhd. serta agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berfungsi di IBC. Syarikat-syarikat lain yang bakal beroperasi terdiri daripada pelabur dalam bidang peranti perubatan.

Bagi komponen pembinaan kawasan perindustrian seluas 2,468.76 ekar pula, pelaksanaan fasa satu seluas 440 ekar yang terbahagi kepada dua peringkat penyiapan dengan kos RM184 juta, di mana RM157.9 juta telah disediakan di bawah RMK-11 dan bakinya dalam RMK-12.

“Kerja-kerja pembinaan fasa satu bagi keseluruhan kawasan dijangka siap pada 31 Mei 2022, manakala fasa kedua pula meliputi kawasan seluas 2,028.76 ekar akan bermula pada suku ketiga 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya