fbpx

Pendapatan Top Glove naik 51%, cecah RM7.24 bilion

Permintaan sarung tangan getah lonjakkan pendapatan Top Glove bagi tahun kewangan 2020.
  • Oleh AFIQ MOHD. SHAH
  • 17 September 2020, 3:08 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) mencatatkan perolehan luar biasa apabila mencecah RM7.24 bilion dalam tahun kewangan 2020, peningkatan 51 peratus berbanding RM4.80 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu.

Menurut Top Glove dalam kenyataan, keuntungan selepas cukai syarikat sarung tangan terkemuka itu turut melonjak kepada RM1.9 bilion, naik mendadak 417 peratus berbanding tahun kewangan 2019.

Volum jualan Top Glove juga naik 17 peratus berbanding tahun kewangan 2019.

Dalam masa yang sama, prestasi suku keempat berakhir 31 Ogos 2020 sangat memberangsangkan selepas merekodkan RM3.11 bilion pendapatan jualan, naik 162 peratus berbanding tempat sama tahun kewangan lalu dan 84 peratus berbanding suku ketiga tahun kewangan 2020.

“Lonjakan pertumbuhan permintaan sarung tangan susulan penularan Covid-19 telah membuatkan prestasi luar biasa yang dicatatkan syarikat.

“Pertumbuhan permintaan bagi suku keempat tahun kewangan 2020 kukuh terutama di Asia, Eropah Barat dan Eropah Timur yang masing-masing melonjak 110, 73 dan 64 peratus berbanding suku keempat tahun kewangan 2019.

“Permintaan paling kukuh adalah melibatkan sarung tangan nitril yang berkembang 31 peratus tahun-ke-tahun sementara sarung tangan pemeriksaan getah asli turut menyaksikan pertumbuhan tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun kewangan 2019. Sesuai dengan permintaan pasaran, purata harga jualan (ASP) turut dinaikkan,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

POPULAR