Nestle azam tanam 3 juta pokok - Utusan Malaysia

Nestle azam tanam 3 juta pokok

Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd., Juan Aranols melancarkan Projek ReLeaf Nestle di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Demi mena­ngani kesan perubahan iklim terhadap negara, Nestle me­ngumumkan komitmennya untuk menanam tiga juta pokok di Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Komitmen tersebut adalah sebahagian daripada intipati Projek RELeaf, sebuah inisia­tif penghutanan semula di negara ini yang menyumbang kepada janji global syarikat untuk mencapai pelepasan gas rumah sifar bersih menjelang tahun 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif Zon Asia, Oceania dan Subsahara Afrika Nestle, Chris Johnson berkata, projek tersebut akan menyumbang kepada pengurusan rantaian bekalan secara bertanggungjawab di samping membantu meningkatkan semula populasi hutan di negara ini.

“Kami menyedari keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim yang telah menjadi ancaman kepada kelestarian perniagaan kami dan juga masa depan bumi kita.

“Projek RELeaf akan membolehkan kami mempercepat usaha kami mencapai cita-cita pelepasan gas bersih-sifar de­ngan meningkatkan penyelesaian berpacukan alam semula jadi untuk menangani isu iklim global,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Pelancaran Projek RELeaf telah dirasmikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah di Taman Rimba Alam, Presint 15, Putrajaya.

Nestle Malaysia akan menanam tiga juta pokok di seluruh Tanah Lembab Kinabatangan dan kawasan Pemulihan Hutan Merisuli di Sabah serta hutan simpan di sepanjang Lingkaran Hutan Tengah di Semenanjung Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya