Moratorium kepada B40 dan M40 - Utusan Malaysia

Moratorium kepada B40 dan M40

Orang ramai mengambil kesempatan berkunjung ke Pusat Konvensyen Shah Alam sempena Kempen Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di Seksyen 14, Shah Alam pada tahun lalu. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (Perdana) menggesa kerajaan melanjutkan moratorium secara automatik kepada golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana M40 sehingga 31 Disember ini.

Presiden Perdana, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir berkata, bank-bank tidak akan rugi jika melanjutkan moratorium automatik kepada kumpulan berkenaan kerana golongan berpendapatan tinggi akan terus membayar ansuran pinjaman mereka, malah syarikat-syarikat besar juga telah mula beroperasi beberapa bulan lalu dan membuat bayaran ansuran tanpa sebarang tunggakan.

Beliau berkata, pihaknya tidak melihat proses memohon lanjutan moratorium bersasar yang ditawarkan oleh institusi perbankan, mudah bagi golongan B40 dan M40.

“Pelbagai jenis borang yang perlu diisi dan ditambah dengan dokumen sokongan yang perlu disediakan. Berapa ramai yang menyimpan penyata bank mereka terutama golongan B40 kerana perbelanjaan bulanan mereka hanya cukup-cukup makan.

“Oleh itu, saya memohon kerajaan dapat mempertimbangkan supaya ansuran pinjaman kereta di bawah RM1,000, pinjaman perumahan di bawah RM2,000 dan pinjaman peribadi di bawah RM2,000 sebulan diberikan lanjutan moratorium secara automatik sehingga 31 Disember 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.

Erwan berkata, golongan B40 dan M40 tidak harus dibebankan dengan proses yang sukar oleh pihak bank, sekiranya mereka tidak memohon, bukan kerana tidak perlu tetapi kerana proses yang menyusahkan.

“Ramai yang berasa sukar untuk berurusan dengan pihak bank. Kita perlu melihat secara rasional tentang pemasalahan ini. Bahkan ramai yang pendapatan mereka berkurangan ditambah pula kos barangan keperluan meningkat dan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas.

“Apa salahnya jika golongan B40 and M40 diberikan sedikit lagi ruang sehingga hujung tahun melalui moratorium automatik pinjaman mereka,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, bank-bank boleh menyediakan satu polisi lain yang menetapkan para pelanggan hanya membayar kadar faedah untuk tempoh enam bulan lagi.

“Bagi membantu kedua-dua belah pihak, mungkin pihak yang terlibat boleh mewujudkan inisiatif baharu iaitu mengenakan bayaran kadar faedah sahaja untuk tempoh enam bulan lagi.

“Sekurang-kurangnya golongan yang terjejas tidak perlu berhadapan dengan bebanan penambahan caj faedah selepas enam bulan atau tempoh yang ditentukan,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.