Langgan Sukuk Prihatin RM666 juta - Utusan Malaysia

Langgan Sukuk Prihatin RM666 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Langganan Sukuk Prihatin yang telah dilancarkan kerajaan pada 18 Ogos lalu telah terlebih langganan dengan jumlah lebih RM666 juta, melepasi sasaran penerbitan asal RM500 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, memandangkan sambutan memberangsangkan daripada pemohon yang layak, kerajaan memutuskan untuk menerbitkan langganan tambahan sebanyak RM166 juta.

Sehubungan itu, beliau ber­kata, inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang telah ditutup pada 17 September lalu akan diterbitkan semula pada 22 Sep­tember ini de­ngan tempoh matang dua tahun.

“Sukuk ini diterbitkan kerajaan dengan tujuan memberi peluang kepada rakyat me­nyumbang ke arah usaha membina semula negara pasca pandemik Covid-19.

“Dana terbitan Sukuk Prihatin ini akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 untuk pelaksanaan langkah-langkah pemulihan ekonomi, seper­i menambah baik kesaling­hubungan di sekolah-sekolah luar bandar, menyokong usaha penyelidikan penyakit berjangkit dan membiayai usahawan mikro,” katanya dalam kenya­taan di sini semalam.

Menurut Tengku Zafrul, sukuk patuh syariah itu telah dilanggan menerusi JomPAY dan DuitNow yang diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia dan Maybank merupakan bank pengedar utama bagi sukuk itu.

“Langganan dalam talian ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan melakar sejarah buat sukuk digital yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang melanggan Sukuk Prihatin,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, lebihan langganan dan kejayaan penerbitan Sukuk Prihatin adalah bukti semangat satu hati dan kerjasama rakyat Malaysia dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini, selaras dengan tema #MalaysiaPrihatin.

Katanya, kerajaan percaya, semangat ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’ akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih teguh.

Beliau menjelaskan, penerbitan semula Sukuk Prihatin menawarkan kadar keuntungan sebanyak dua peratus setahun yang akan dikecualikan cukai dan dibayar setiap suku tahunan.

Katanya, pemegang sukuk juga mempunyai pilihan untuk menderma sebahagian atau keseluruhan jumlah prinsipal langganan apabila tempoh pelaburan matang pada 21 September 2022.

Pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan Sukuk Prihatin patuh syariah yang memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat dan sektor korporat dengan jumlah minimum pelaburan RM500.

Ia merupakan strategi 6R kerajaan yang merangkumi enam pendekatan iaitu resolve (tekad); resilience (ketahanan); restart (mula semula); recovery (pemulihan); revitalise (hidup semula) dan reform (pembaharuan), hasil penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk langkah pemulihan iaitu pendekatan yang keempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya