Kenyataan tular tidak benar - Amanah Raya - Utusan Malaysia

Kenyataan tular tidak benar – Amanah Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) menjelaskan, kenyataan tular  berkaitan wang caruman ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa penama atau penama individu yang meninggal terdahulu daripada si mati akan disalurkan secara automatik kepada agensi itu sebagai tidak benar dan mengelirukan. 

Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Adenan Md. Yusof berkata, sebagai sebuah agensi milik penuh kerajaan, pihaknya sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. 

“Adalah tidak benar sama sekali, wang caruman KWSP akan dibekukan di Amanah Raya kerana sebagai pentadbir, pihak kami akan membahagikan harta si mati kepada waris-waris yang berhak dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Ujar Adenan, caruman KWSP hanya akan diserahkan kepada Amanah Raya sekiranya dilantik sebagai pentadbir kepada pusaka ahli KWSP yang telah meninggal dunia atau sebagai pemegang amanah bagi bahagian waris bawah umur atau orang kurang upaya (OKU). 

“Ini kerana mereka tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk menerima wang simpanan KWSP berkenaan,” katanya. 

Tegas beliau, sepanjang tempoh sebarang harta ditadbirkan, waris yang sah atau penjaga kepada waris bawah umur dan OKU boleh membuat pengeluaran dari semasa ke semasa bagi tujuan sara hidup, persekolahan, perayaan dan keperluan khusus. 

Tambahnya, Amanah Raya boleh dilantik sebagai pentadbir atau pemegang amanah oleh mahkamah atau pejabat pusaka kecil atau diuruskan secara terus oleh Amanah Raya di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. 

“Semua pusaka yang ditadbir oleh Amanah Raya akan dibahagikan kepada waris yang sah mengikut peruntukan undang-undang yang terpakai. 

“Kerjasama antara Amanah Raya dan KWSP telah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2018, memberi pilihan kepada pencarum untuk melantik pihak kami sebagai penama atau pemegang amanah kepada wang caruman KWSP mereka bagi memudahkan pengagihan simpanan kepada waris apabila ahli keluarga meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya