Hanya 25 peratus pekebun kecil miliki MSPO - Utusan Malaysia

Hanya 25 peratus pekebun kecil miliki MSPO

MUHTAR Suhaili (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Wee Jeck Seng selepas merasmikan Ibu pejabat MPOCC di Seksyen U1, Shah Alam, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hanya 25 peratus pekebun kecil persendirian di seluruh negara telah mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Statistik terbaharu direkodkan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) itu merangkumi kira-kira 500,000 pekebun termasuk yang berada di bawah penyusunan beberapa agensi kerajaan. 

Pengerusi MPOCC, Muhtar Suhaili berkata, pihaknya bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang giat berusaha untuk meningkatkan jumlah itu dengan melaksanakan pelbagai program.

 “Tahap kesedaran rendah mengenai kepentingan dan kelebihan sijil MSPO itu antara faktor utama pekebun kecil tidak tampil mendaftar untuk mendapatkannya.

“Selain itu, segelintir mereka mungkin tidak mengetahui bahawa pembiayaan sijil tersebut ditanggung sepenuhnya kerajaan dan kami giat menguar-uarkannya di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar sempena perasmian Ibu Pejabat baharu MPOCC di Seksyen U1 di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.

Tambah Muhtar, pensijilan MSPO yang diperkenalkan sejak 2017 itu bertujuan memastikan pengusaha sawit dapat melaksanakan penanaman sawit secara lestari mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Langkah itu turut berupaya meningkatkan pendapatan pengusaha sawit termasuk pekebun kecil persendirian.

“Walaupun tidak diwajibkan kepada pekebun kecil, logo MSPO yang tertera pada produk mereka membuktikan ia lebih berkualiti dan bermutu tinggi.

“Statistik juga mendapati kira-kira 99 peratus pengusaha perladangan besar bagaimanapun telah memiliki MSPO,” katanya.

Dalam pada itu, Jeck Seng dalam ucapannya berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha meningkatkan penyertaan pensijilan tersebut sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

“Kita akan menjalinkan hubungan dengan beberapa negara bagi memastikan industri minyak sawit tempatan terus dikenali dunia.

“Bagi langkah tempoh jangka masa panjang, kita akan memperkukuhkan lagi standard sedia ada MSPO supaya bersesuaian dengan kualiti pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya