fbpx

25 Januari 2021, 7:38 pm

  TERKINI

Axiata dibenar senarai anak syarikat Bangladesh

Suruhanjaya Dagangan dan Sekuriti Bangladesh (BSEC) telah meluluskan permohonan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian Robi Axiata Ltd. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd. mengumumkan telah menerima persetujuan bagi menyenaraikan anak syarikat miliknya, Robi Axiata Ltd. di pasaran saham Bangladesh.

Menurut Axiata dalam makluman kepada Bursa Malaysia, konglomerat komunikasi itu memberitahu Suruhanjaya Dagangan dan Sekuriti Bangladesh (BSEC) telah meluluskan permohonan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian Robi.

“Maklumat lanjut akan diumumkan sebaik sahaja Robi menerima surat kelulusan daripada BSEC,” katanya dalam kenyataan itu, semalam.

Februari lalu, Axiata mengumumkan untuk meninjau peluang meraih RM255.2 juta dengan cadangan untuk menyenaraikan Robi yang dimiliki 68.69 peratus oleh Axiata di Dhaka Stock Exchange Ltd. dan Chittagong Stock Exchange Ltd. di Bangladesh.

Axiata kemudiannya berkata Robi akan menerbitkan 523.79 juta saham baharu mewakili 10 peratus daripada modal saham selepas disenaraikan sekali gus mencairkan sahamnya dalam Robi sebanyak 6.87 peratus.

Axiata bagaimanapun akan terus menjadi pemegang saham majoriti Robi selepas selesai proses penyenaraian.

Modal yang diraih menerusi penyenaraian itu akan digunakan untuk pengembangan rangkaian.

Robi merupakan penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Bangladesh yang memberi perkhidmatan suara, data dan digital yang inovatif.

Syarikat itu adalah operator rangkaian mudah alih kedua terbesar di Bangladesh dengan mempunyai 49 juta pelanggan setakat penghujung Disember 2019.  – UTUSAN

BERITA BERKAITAN