Siapa pengganti Pengerusi Maybank? - Utusan Malaysia

Siapa pengganti Pengerusi Maybank?

MOHAIYANI Shamsudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun menganggotai lembaga pengarah Maybank, Pengerusi institusi perbankan terbesar negara itu, Datuk Mohaiyani Shamsudin dilaporkan akan bersara daripada jawatan itu tidak lama lagi. 

Menurut laporan The Edge Markets yang memetik sumber, Mohaiyani, 71, yang telah memegang jawatan itu selama tiga tahun sejak 1 April 2017 memilih untuk meninggalkan Maybank sebagai mematuhi urus tadbir korporat yang baik. 

Sebelum dilantik sebagai Pengerusi, Mohaiyani merupakan pengarah bebas Maybank sejak Ogos 2011 hingga Mac 2017. 

Secara teknikalnya, tiada peraturan yang memerlukan Mohaiyani untuk melepaskan jawatan kerana peraturan urus tadbir korporat hanya mengatakan pengarah bebas tidak boleh melebihi tempoh sembilan tahun dengan beliau memegang jawatan itu kurang daripada enam tahun. 

Kata laporan itu, sebagai Pengerusi, Mohaiyani adalah pengarah bukan eksekutif bukan bebas kerana menjadi calon pemegang saham terbesar Maybank, Permodalan Nasional Bhd. (PNB). 

Namun begitu, jurucakap Maybank mengatakan bank itu tidak mahu memberi komen berhubung spekulasi pasaran. 

“Sebagai institusi kewangan yang disenaraikan di Bursa Malaysia, jika ada pelantikan di tahap lembaga pengarah, bergantung kepada kelulusan yang diperlukan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai,” kata jurucakap itu kepada The Edge Markets, Jumaat lalu. 

Mengulas mengenai pengganti Mohaiyani, beberapa sumber memberitahu The Edge Markets antara calon yang dikenal pasti termasuk calon dalaman iaitu Hasnita Hashim yang juga  pengarah bebas Maybank sejak Julai 2016 dan Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd. 

Beberapa sumber lain memberitahu jawatan itu juga mungkin disandang calon luaran dengan nama bekas Pengerusi UEM Sunrise Bhd., Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa yang bersara bulan lalu sebagai satu daripada calon. 

Zamzamzairani, 60, sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Telekom Malaysia Bhd. berpengalaman selama 30 tahun dalam sektor telekomunikasi. Beliau juga telah dilantik sebagai penasihat telekomunikasi kepada Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Saifuddin Abdullah, Jun lalu. 

Hasnita pula yang memegang Pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang nuklear fizik daripada Universiti Oxford berpengalaman pengurusan kewangan global selama 30 tahun di samping pengurusan aset, struktur kewangan dan keselamatan aset.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya