Pulangan, pembatalan lebih tinggi berbanding aduan - Mavcom - Utusan Malaysia

Pulangan, pembatalan lebih tinggi berbanding aduan – Mavcom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Macvom) menerima sebanyak 2,340 permintaan pemulangan semula daripada pengguna berkaitan Covid-19. 

Mavcom berkata, sebanyak 2,146 permintaan tersebut melibatkan permintaan untuk pemulangan semula manakala 194 permintaan adalah untuk perubahan tarikh penerbangan.

Dalam pada itu, Mavcom turut menerima sebanyak 490 aduan dengan dokumentasi yang tidak lengkap namun tidak dapat dinilai secara adil. 

“Kami telah menerima sebanyak 79 aduan berdasarkan penilaian yang dibuat, syarikat penerbangan atau lapangan terbang yang berkenaan telah memenuhi tanggungjawab mereka di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), maka tiada langkah yang seterusnya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Aduan itu berdasarkan Laporan Pengguna Kelapan Mavcom untuk tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

Sementara itu, dalam laporan dwi tahunan itu, sebanyak 384 aduan diterima dengan 381 aduan terhadap syarikat penerbangan, manakala tiga aduan lain berkaitan lapangan terbang. 

“Aduan itu menunjukkan pengurangan 52.6 peratus daripada 810 aduan yang dibuat dalam tempoh yang sama pada  2019. Sebanyak 90.9 peratus daripada 384 aduan telah berjaya diselesaikan dan ditutup,” katanya. 

Suruhanjaya itu juga telah menerima sebanyak 79 aduan yang berada di luar bidang kuasa Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

“Laporan ini juga menunjukkan sebanyak 57.8 peratus aduan yang diterima dari 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini telah menyebabkan syarikat penerbangan menarik balik keputusan asal mereka dan memberikan resolusi yang lebih adil serta memuaskan bagi pengguna berbanding keputusan asal yang telah dibuat dahulu. 

“Ini mewakili kenaikan 3.8 peratus berbanding tempoh antara 1 Januari 2019 dan 30 Jun 2019,” katanya.

Ujarnya, berbanding syarikat penerbangan lain, Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah mencatat jumlah aduan tertinggi bagi setiap juta penumpang dalam tempoh setengah tahun. 

Syarikat penerbangan itu menerima sebanyak 44 aduan untuk setiap sejuta penumpang yang menaiki penerbangannya. 

Ini diikuti Malindo Air sebanyak 32 aduan dan AirAsia X pula 24 aduan bagi setiap sejuta penumpang.

“Bagi syarikat penerbangan, proses pemulangan semula, kerosakan bagasi dan pembatalan penerbangan adalah tiga kategori aduan teratas, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 51.4 peratus aduan. 

“Sebaliknya, untuk lapangan terbang, aduan yang diterima kebanyakannya berkaitan  kemudahan lapangan terbang dan keselamatan lapangan terbang,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, kebimbangan terhadap isu kesihatan dan sekatan perjalanan kerana pandemik Covid-19 telah menyebabkan industri penerbangan mengalami satu tempoh yang paling mencabar. 

“Walaupun perkhidmatan penerbangan telah mula beroperasi secara progresif, permintaan untuk perjalanan udara tetap jauh lebih rendah berbanding sebelum wabak ini berlaku.

“Walaupun Mavcom tidak meramalkan pemulihan penuh dalam jangka masa terdekat ini, kami akan meneruskan mandat untuk melindungi hak pengguna yang mengunakan perkhidmatan udara di seluruh negara,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya