KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd. akan terus menerapkan pendekatan berorientasikan pelanggan dalam usaha memenuhi permintaan dan kepuasan pelanggan terhadap produk serta perkhidmatan syarikat automotif nasional itu.
Atas dasar itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Roslan Abdullah berkata, Proton menyasarkan untuk menaik taraf cawangan pusat servis kepada 3S (khidmat jualan, servis, alat ganti) dan 4S (jualan, servis, alat ganti, ketuk dan cat) syarikat itu kepada 150 cawangan menjelang penghujung tahun ini berbanding 125 cawangan ketika ini.
“Setakat ini kita mempunyai lebih 200 cawangan merangkumi 1S hingga 4S dengan kita sentiasa menggalakkan mereka untuk menaik taraf ke 3S atau 4S.
“Penting bagi mereka menaik taraf pusat selepas jualan, itu bukan sahaja untuk kemampanan perniagaan mereka pada masa hadapan tetapi juga memenuhi kepuasan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu, Roslan yang juga Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton berkata, Proton melihat masih belum ada keperluan untuk meneroka peluang mengeluarkan model terbaharu melibatkan kereta elektrik (EV).
Katanya, infrastruktur lengkap termasuk fasiliti mengecas EV masih belum berkembang sepenuhnya di Malaysia di samping kesedaran awam juga tidak berada pada tahap yang tinggi.
Beliau malah berkata, beberapa kajian juga mendapati pelaburan untuk menghasilkan EV adalah besar dan dilihat tidak berbaloi dengan hasil jualan.
“Kita perlu memahami perangai pemanduan rakyat Malaysia di mana kebanyakannya suka memandu dari Kangar hingga Johor Bahru. Bayangkan kita memandu EV dari Kuala Lumpur hingga Kota Bharu yang memakan masa 10 jam (kerana jalan sesak). Agak sukar.
“Semuanya berbalik kepada permintaan pelanggan. Di negara luar, pengeluar yang menghasilkan EV akan diberi subsidi oleh kerajaan. Malah, telah banyak disediakan infrastruktur terbaik.
“Ramai orang mungkin mahukan EV tetapi tidak ramai yang akan membelinya,” jelas beliau.
Pada masa sama, Roslan turut melihat trend pembelian kenderaan utiliti sukan (SUV) yang semakin meningkat ketika ini akan berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Trend untuk membeli SUV ini adalah permintaan global, bukan di Malaysia sahaja. Jika dilihat kepada statistik, bukan Proton sahaja menerima tempias menerusi model X70, tetapi pembelian terhadap SUV lain juga.
“Bagi Proton, kami akan terus melihat kepada perkara ini dalam usaha memenuhi permintaan dan kepuasan pelanggan. Mungkin model baharu kami selepas ini adalah SUV juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE










