PCG, LG Chem bina loji NBL - Utusan Malaysia

PCG, LG Chem bina loji NBL

SAZALI HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dan LG Chem menandatangani perjanjian untuk membina loji pembuatan Nitrile Butadiene Latex (NBL) di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor.

Pembinaan loji itu menyasarkan pasaran sarung tangan nitril yang sedang berkembang selain mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pengeksport sarung tangan terbesar di dunia.

PCG dalam kenyataan berkata, pembinaan loji itu bermula pada 2021 sementara pengeluaran dijangka bermula setahun kemudian dan apabila siap, loji itu akan mempunyai penge­luaran kapasiti tahunan sebanyak 200,000 tan.

Katanya, kerjasama strategik itu tepat pada masanya dengan permintaan sarung tangan nitril yang semakin tinggi.

Di samping itu, kerjasama berkenaan juga akan mewujudkan aliran pendapatan dan pasaran baharu dengan mengoptimumkan sumber daripada kedua-dua belah syarikat.

Pada masa yang sama, PCG dan LG Chem akan bekerjasama untuk menawarkan pelbagai nilai tambahan dan aplikasi baharu NBL serta mengembangkan produk bernilai tinggi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaburan yang berterusan.

KOMPLEKS Bersepadu Pengerang (PIC)

 

Mengulas kerjasama tersebut, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama itu kerana ia merupakan langkah strategik bagi mengembangkan portfolio bahan kimia khusus PCG dan mengukuhkan kedudukan PCG sebagai pengeluar bahan kimia bersepadu terkemuka di Malaysia.

“Ini merupakan permulaan yang baik bagi PCG menceburi bidang produk berasaskan NBL yang kian berkembang. Kerjasama strategik ini juga membo­lehkan PCG meningkatkan kehadirannya di pasaran pengguna yang lebih menarik, seperti penjagaan diri dan kesihatan, terutamanya di rantau Asia Pasifik.

“Kerjasama ini turut me­ngukuhkan lagi agenda pertumbuhan kami setelah mengambil alih pemain silikon pada tahun lalu. Dengan lebih banyak bahan kimia khusus dalam portfolio kami, PCG akan bertumpu ke segmen yang mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih tinggi,” katanya.

NBL adalah getah sintetik yang menggunakan butadiena sebagai bahan mentah utama bagi membuat sarung tangan nitril yang banyak digunakan dalam beberapa industri seperti penjagaan kesihatan, perubatan dan makanan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.