UALA LUMPUR: Industri pelancongan dan kebudayaan bakal mengalami kerugian berganda sebanyak RM75 bilion selain kehilangan 22.5 juta pelancong asing jika berlaku gelombang kedua pandemik Covid-19.
Angka itu sekali gus boleh menggagalkan sasaran RM100 bilion pendapatan pelancongan melalui ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa bersempena Kempen Melawat Malaysia (VM 2020).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ‘serangan’ pandemik wabak itu pada awal tahun ini sehingga kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kerugian hasil perbelanjaan pelancong mencecah RM45 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Lebih mendukacitakan, kata beliau, ia menjejaskan pendapatan seramai 22,000 penggiat industri dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM85.06 juta sejak 18 Mac lalu sehingga kini.
“Sebanyak RM33 juta terpaksa ditanggung oleh syarikat-syarikat produksi yang terpaksa membatalkan konsert serta pementasan teater manakala pengusaha galeri seni pula terpaksa tanggung kerugian sebanyak RM4.06 juta.
“Kementerian menganggarkan jika krisis ini berlanjutan, berkemungkinan impak yang lebih besar akan melanda sektor pelancongan dengan penurunan ketibaan dan perbelanjaan pelancong antarabangsa sebanyak 75 peratus selain menjejaskan perbelanjaan pelancong domestik hampir 30 peratus.
“Ini sekali gus menjejaskan sumbangan pelancongan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan guna tenaga negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, kelmarin.
Sebelum ini kerajaan menyasarkan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 bilion pendapatan pelancongan dapat diraih menerusi VM 2020.
Sasaran itu berikutan prestasi industri pelancongan untuk Januari hingga September tahun lalu menyaksikan kesan amat menggalakkan apabila ketibaan warga asing meningkat 3.7 peratus kepada 20.11 juta orang berbanding 19.39 juta orang bagi tempoh sama 2018.
Malah, jelas Nancy, keadaan akan menjadi lebih kritikal apabila hampir 160,000 pekerja hilang punca pendapatan terutama dalam sektor perkhidmatan termasuk penginapan, makanan dan minuman, seni, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salun.
“Bagi suku pertama tahun ini, kita kehilangan hampir RM9 bilion perbelanjaan pelancong asing jika dibandingkan dengan tahun lalu.
“Pembatalan tempahan bilik hotel sudah mula berlaku sebelum PKP. Untuk tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 193,000 pembatalan tempahan telah dibuat.
“Data yang diperoleh daripada pihak persatuan-persatuan hotel yang diiktiraf oleh kementerian juga menunjukkan dalam tempoh antara 18 Mac hingga 1 Julai lalu sebanyak 36 premis penginapan pelancong pelbagai taraf bintang telah menutup operasi,” katanya. – UTUSAN










