Ekuinas jual PrimaBaguz - Utusan Malaysia

Ekuinas jual PrimaBaguz

Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melupuskan 100 peratus ekuitinya dalam syarikat peneraju pembuatan produk berasaskan da­ging halal premium, Primabaguz Sdn. Bhd. (PrimaBaguz) kepada Johnsonville International LLC (Johnsonville) berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM175 juta.

Pemilikan strategik PrimaBaguz akan membolehkan Johnsonville mencapai cita-citanya untuk meneroka hab makanan halal di dalam rantau ini, jelas Ekuinas dalam satu kenyataan semalam.

Ditubuhkan pada 1987, PrimaBaguz ialah pembuat produk berasaskan daging halal premium dan berkualiti tinggi seperti, sosej, potongan daging, bebola daging, daging burger, sup dan sos.

Syarikat tersebut bekerjasama dan membekalkan kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa, khususnya di dalam segmen restoran khidmat pantas (QSR) dan hotel, restoran dan syarikat katering (HORECA), serta pemborong.

Kini, PrimaBaguz menghasilkan lebih 100 produk dan menawarkan kepada lebih 15 jenama di Malaysia dan 10 negara lain.

Johnsonville ialah syarikat pemprosesan daging terkemuka di Amerika Syarikat dengan produk peneraju pasaran untuk hidangan sarapan, makan malam dan kudapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir berkata, syarikat berpuas hati dengan pelupusan itu kerana ia telah menggalakkan pelaburan langsung asing dalam industri pembuatan makanan dan Johnsonville merancang untuk menjadikan PrimaBaguz sebagai hab makanan halal mereka bagi Asia dan Asia Barat.

“Pelan penciptaan nilai (VCP) Ekuinas untuk PrimaBaguz telah menjana pertumbuhan pendapatan sebanyak 75 peratus sejak penglibatan kami pada 2013, khususnya didorong oleh peningkatan dalam kapasiti pembuatan dan rangkaian produknya,” katanya.

Pelupusan itu telah menarik perhatian pelaburan langsung asing­ yang signifikan dan menjana Kadar Pulangan Dalaman (IRR) Kasar sebanyak 22.1 peratus dan 3.8 kali modal dilaburkan, yang merupakan sebahagian daripada strategi portfolio berhemat Ekuinas sejajar dengan keadaan pasaran semasa. Ia akan membawa jumlah terealisasi Ekuinas kepada RM3.1 billion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.