Aplikasi Moovit bantu pengguna bas rancang perjalanan - Utusan Malaysia

Aplikasi Moovit bantu pengguna bas rancang perjalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan aplikasi Moovit bakal memberi manfaat kepada ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang dan Selangor untuk merancang perjalanan melalui ketersediaan maklumat masa sebenar (real-time) lokasi bas.  

Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus), anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor melancarkan aplikasi tersebut, semalam. 

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, pelancaran berkenaan adalah kerjasama pihaknya dengan Moovit sebagai sebahagian inisiatif untuk menjalinkan kolaborasi bersama pembangun aplikasi pihak ketiga yang terpilih. 

“Sebelum ini kami telah melancarkan perkongsian data masa sebenar bersama Google Maps pada 18 Jun lalu.

“Kedua-dua inisiatif ini menandakan satu titik baharu di dalam perkongsian data kedudukan bas secara masa sebenar bagi kemudahan para pelanggan kami. 

“Inisiatif-inisiatif kolaboratif ini adalah pelopor kepada inisiatif perkongsian data terbuka yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.  

Ujarnya, selain menggunakan data yang dikongsi melalui kolaborasi itu, Moovit juga menggunakan data yang dikumpul daripada sumber-sumber lain.

“Dengan aplikasi Moovit, para penumpang dapat menyemak lokasi masa sebenar yang dikongsikan oleh Rapid Bus untuk bas Rapid KL bagi laluan-laluan bas di Lembah Klang termasuk bagi bas perantara Transit Aliran Massa (MRT), perantara Transit Aliran Ringan (LRT), Go KL dan beberapa laluan perkhidmatan bas Smart Selangor yang terpilih.

Tambah Muhammad Yazurin, Rapid Bus turut merancang untuk meluaskan rangkuman data lokasi kepada perkhidmatan bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang, pada masa akan datang. 

Katanya, selain daripada maklumat perjalanan bas, perkongsian data melalui Moovit turut memberi pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan. 

“Dengan adanya kemudahan maklumat perjalanan ini melalui aplikasi telefon pintar, para penumpang boleh menanti bas mereka sambil bersantai atau melakukan aktiviti lain sementara menunggu ketibaan bas,” katanya. 

Para pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Moovit daripada Google Play atau Apple App Store. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.