fbpx

Pasaran tempatan raih manfaat

Kelemahan dolar AS dan kebimbangan peningkatan Covid-19 menjadi antara pemangkin kepada lonjakan harga emas. – Utusan/ ZULHANIFA SIDEK
  • 28 Julai 2020, 10:30 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Harga emas capai paras tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Pasaran ­saham tempatan menokok 1.87 mata kepada 1,591.48 petang semalam ketika pasaran serantau lain menerima ­tekanan ekoran ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China susulan penutupan konsulat di negara masing-masing.

Ketidaktentuan tersebut secara tidak langsung memberi kesan kepada penyusutan dolar AS yang akhirnya menjadi pemangkin kepada lonjakan harga emas ke paras tertinggi dalam sejarah pagi semalam kepada AS$1,944.71 (RM8,268.43) seauns atau sekitar RM291.66 segram.

Komoditi itu melonjak me­ngatasi paras tertinggi pada 2011, iaitu AS$1,921.18 (RM8,168.60) atau RM288.14 segram akibat kebimbangan mengenai ke­tegangan antara China dan AS serta peningkatan kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.

Menurut laporan AFP, ­beberapa dasar melibatkan ­Rizab Persekutuan AS yang akan bermesyuarat minggu ini dan langkah-langkah yang diambil bagi merangsang ekonomi dengan kadar faedah diunjur negatif dijangka terus memberi tekanan kepada dolar AS.

Keadaan ini sekali gus mampu melonjakkan harga emas ­melepasi AS$2,000 (RM8,501) auns atau sekitar RM300 ­segram.

Penganalisis Kanan Penyumberan MineLife, Gavin Wendt dalam laporan berkenaan berkata, selain kelemahan dolar AS menjadi pemangkin utama peningkatan emas, momentum positif logam berharga itu juga dipacu daya tarikannya sebagai aset selamat di tengah-tengah pergolakan perdagangan AS-China.

Di pasaran tempatan pula, antara kaunter saham syarikat berkaitan emas yang mendapat kelebihan termasuk Poh Kong Holdings menokok 27.88 peratus untuk ditutup kepada 66.5 sen manakala Tomei Consolidated Bhd. pula melonjak 38.38 peratus kepada 68.5 sen dan Bahvest Resources Bhd. ditutup pada 50.5 sen setelah meningkat 21.69 peratus.

Namun, saham syarikat berkaitan penjagaan kesihatan dan perladangan terus me­nguasai kaunter utama dengan Kossan Rubber Industries Bhd. melonjak 21.01 peratus ditutup kepada RM16.70 manakala Careplus Group Bhd. meningkat 23.58 peratus kepada RM3.04 dan Pharmaniaga Holdings Bhd., pula meningkat 10.47 ­peratus kepada RM4.01.

Kaunter berkaitan sarung tangan, Top Glove Corp Bhd. ditutup pada RM25.88 setelah menokok 1.73 peratus manakala Hartalega Holdings Bhd. pula meningkat 3.51 peratus kepada RM18.30 petang semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam ­Mohamed Rahim berkata, indeks sektor kesihatan di Bursa Malaysia masih mendahului sektor-sektor lain dengan peningkatan sebanyak 4.9 peratus.

Katanya, indeks tenaga mere­kodkan penurunan terting­gi ­sebanyak -1.5 peratus, sela­ri dengan penurunan harga ­minyak Brent.

“Untuk saham-saham komponen indeks FBM KLCI, kaun­ter berkaitan perladangan seperti Kuala Lumpur Kepong Berhad merekodkan kenaikan harga saham paling tinggi ­sebanyak 5.2 peratus.

“Dari segi harga komoditi pula, harga pasaran emas dunia telah melonjak daripada AS$1,902.2 (RM8,089.11) seauns ke paras yang menghampiri AS$2,000 berikutan nilai dolar AS menurun 0.6 peratus dan kerisauan terhadap pertumbuhan ekonomi dunia menyebabkan permintaan untuk aset selamat itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, menurut Hong Leong IB Research, indeks FBM KLCI setakat ini memperoleh keuntungan daripada pelabur runcit dan dana tempatan yang membuat pembe­lian masing-masing berjumlah RM10.6 bilion dan RM8 bilion berbanding penjualan asing ­sebanyak RM18.6 bilion.

POPULAR