Pasaran saham kekal momentum - Utusan Malaysia

Pasaran saham kekal momentum

ekonomi
PEMULIHAN ekonomi Malaysia bakal terancam ekoran politik yang tidak stabil dan serangan wabak Vovid-19 yang tidak ada kesudahan. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keputusan perbicaraan Najib

KUALA LUMPUR: Di sebalik keputusan perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan, pasaran saham tempatan mengekalkan momentumnya didorong beberapa perkem­bangan positif ter­utama ­lonjakan harga emas dan ­prestasi perdagangan negara yang kembali pulih.

Ia menyaksikan indeks FBM KLCI menokok 18.46 mata kepada 1,609.94 mata ketika ditutup petang semalam dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 631 berbanding 500 melibatkan 11.85 bilion saham bertukar tangan bernilai RM7.24 bilion.

Bursa Malaysia Bhd. yang merekodkan keuntungan bersih RM151 juta bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2020 menyaksikan harga sahamnya melonjak 5.37 peratus mencapai paras tertinggi sejak 11 Januari 2008 kepada RM10.98 dalam dagangan awal semalam sebelum ditutup kepada 10.04 mata, susut 3.65 mata.

Bagi penganalisis pasaran, impak besar yang menjadi pemangkin pasaran masih lagi ditera­jui harga emas yang semakin melonjak tinggi dan dijangka melepasi AS$2,000 (RM8,500) bila-bila masa dalam minggu ini.

Selain kebimbangan terhadap peningkatan penularan Covid-19 di Asia dan negara-negara Eropah, harga emas meningkat hampir 30 peratus hingga mencecah AS$1,981.27 (RM8,420.40) seauns.

Namun, komoditi itu susut 1.3 peratus kepada AS$1,919 (RM8,155.75) seauns petang semalam.

Peningkatan harga komoditi itu turut melonjakkan harga perak ke paras tujuh tujuh ­tahun tertinggi, melepasi AS$26 (RM110.50) seauns.

Menurut Penganalisis Fat Prophets, David Lennox, data pertumbuhan ekonomi AS bagi suku kedua juga lemah dan akan menyebabkan penyusutan kepada dolar AS.

“Bagaimanapun, masih ada momentum yang mencukupi dalam penawaran dolar AS untuk menolak harga emas lebih tinggi. Ini memandangkan ­Covid-19 telah melambatkan pemulihan ekonomi, mungkin ada lebih banyak tindakan merang­sang ekonomi yang akan dilakukan.

“Jelas sekali emas bertambah baik apabila dolar AS semakin lemah, tetapi dengan peningkatan penawaran wang AS, kerajaan akan menyalurkan wang bagi merangsang ekonomi,”katanya dalam laporan AFP.

Kaunter utama pasaran tempatan masih dikuasai saham syarikat berkaitan sarung ta­ngan dengan Hartalega Holdings Bhd. naik 8.74 peratus kepada RM19.90 manakala Supermax Corporation Bhd. pula meningkat 8.94 peratus kepada RM19.

Saham syarikat Top Glove Corp Bhd. yang mencatatkan paras tertinggi pada RM26.60 dalam dagangan awal ditutup pada RM26.40 setelah susut 2.01 peratus berikutan kebimbangan gelombang kedua ­Co­vid-19 di peringkat global yang terus meningkatkan permintaan sarung tangan.

Bagi kaunter saham melibatkan emas pula, Poh Kong Holdings terus melonjak 17.29 peratus kepada 78 sen petang semalam manakala Tomei ­Consolidated Bhd. naik 24.09 peratus kepada 85 sen dan ­Bahvest Resources Bhd. ditutup pada 54 sen setelah meningkat 6.93 peratus.

Naib Presiden Kanan Inter-pacific Securities Sdn. Bhd., Zainal Ariffin ­Osman berkata, tumpuan pasaran ketika ini masih lagi kepada saham-saham berkaitan emas apabila ia dijangka terus melonjak tinggi manakala keputusan mahkamah ke atas Najib adalah sesuatu yang telah dijangkakan sebelum ini.

“Bagi emas, harga semasa dijangka terus naik apabila tiada stabiliti, apatah lagi dengan kadar bon yang sangat rendah, ekonomi dijangka merudum.

“Untuk itu, kerajaan AS mungkin terpaksa memberi ­lebih banyak rangsangan yang dilihat akan memberi tekanan terhadap ekonomi. Jadi, yang terbaik buat masa ini, adalah simpan emas untuk simpan modal dan bukan untuk mendapatkan pulangan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam ­Mohamed Rahim berkata,indeks FBM KLCI tutup 1.16 peratus lebih tinggi petang semalam pada paras 1,609.94 mata yang menyaksikan Petronas Dagangan Berhad merekodkan peningkatan harga saham tertinggi sebanyak 6.11 peratus.

Ia turut diikuti IHH Healthcare Bhd. sebanyak 5.21 ­peratus dan Hap Seng Consolidated Bhd. sebanyak 3.47 peratus.

“Antara faktor yang memacu kenaikan ini adalah prestasi eks­port Malaysia yang telah mula menunjukkan tanda-­tanda pemulihan daripada kesan ­Covid-19 dengan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM82.9 bilion pada Jun 2020.

“Produk utama yang me­nyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (RM4.5 ­bilion) diikuti oleh keluaran getah (RM1.8 bilion). Oleh itu, indeks Teknologi Bursa melihat kenaikan tertinggi sebanyak 4.02 peratus diikuti oleh indeks kesihatan Malaysia sebanyak 3.19 peratus,”katanya.

Beliau berkata, keputusan Rizab Persekutuan AS sama ada untuk mengekalkan atau me­ngurangkan lagi kadar ­faedah merupakan salah satu faktor besar yang akan mempengaruhi pasaran ekuiti tempatan sepanjang minggu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.