fbpx

Lebihan dagangan melonjak 98.7 peratus

Jumlah perdagangan Malaysia secara menyeluruh menokok 2.2 peratus kepada RM144.84 bilion. - GAMBAR ROSLAN RAHMAN / AFP
  • Oleh Ahmad Afiq Syahmi Bin Mohd Shah
  • 28 Julai 2020, 12:31 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan negara kembali merekodkan peningkatan positif apabila lebihan dagangan melonjak sebanyak 98.7 peratus atau RM20.89 bilion tahun ke tahun pada Jun 2020 sekali gus merupakan lebihan dagangan bulanan tertinggi pernah dicatatkan. 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan memberitahu, lebihan dagangan itu dicapai selepas peningkatan 8.8 peratus eksport kepada RM82.87 bilion berbanding Jun 2019 manakala jumlah import susut 5.6 peratus kepada RM61.98 bilion. 

Jumlah perdagangan secara menyeluruh pula menokok 2.2 peratus kepada RM144.84 bilion menerusi dagangan dengan China, Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Vietnam. 

Katanya, jumlah perdagangan, eksport dan import juga masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 26, 32.3 dan 18.6 peratus manakala dagangan melonjak 101.1 peratus untuk Jun 2020 berbanding bulan sebelumnya. 

“Prestasi lebih baik ini adalah selari dengan penarikan secara berperingkat terhadap sekatan yang telah dikenakan di Malaysia dan seluruh dunia berikutan pandemik Covid-19. 

“Walau bagaimanapun, jumlah dagangan bagi suku kedua tahun ini merosot 14.7 peratus pada kadar RM392.96 bilion berbanding suku sama 2019 dengan eksport berjumlah RM210.3 bilion, susut 14.3 peratus.

“Import juga turun 15.1 peratus bernilai RM182.66 bilion. Lebihan dagangan juga menyusut 9.1 peratus sebanyak RM27.64 bilion pada suku tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

POPULAR