Kaunter sarung tangan getah pilihan pelabur - Utusan Malaysia

Kaunter sarung tangan getah pilihan pelabur

Sumbangan saham syarikat pengeluar sarung tangan getah di dalam indeks FBMKLCI adalah tinggi. – UTUSAN/ FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kaunter sarung tangan getah dijangka terus menjadi pilihan pelabur pasaran modal ekoran ­pe­nularan wabak Covid-19 yang masih belum menemui vaksin.

Pada masa sama, kebim­bangan dunia berlakunya gelombang kedua penularan turut mendorong peningkatan dagangan saham sarung tangan getah sehingga mencatat rekod baharu volum dagangan pada kadar 12.5 bilion unit bernilai RM6.6 bilion, kelmarin.

Menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim, peningkatan volum dagangan yang mendadak sejak kebelakangan ini dipacu oleh sentimen positif terhadap pengeluar sarung tangan getah seperti Top Glove Corporation Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. berikutan ­peningkatan jumlah kes wabak itu seluruh dunia.

Adam berkata, sumba­ngan saham syarikat sektor itu dalam indeks FBM KLCI adalah tinggi dengan pemodalan pasaran bagi kedua-dua saham membabitkan Top Glove dan Hartalega juga tertinggi dalam kalangan 30 saham tersenarai dalam indeks penanda aras ­negara itu.

“Sebarang peningkatan da­lam aktiviti dagangan saham-saham ini akan menggerakkan FBM KLCI terutama ­ancaman gelombang kedua. Oleh itu, ia agak kurang seimbang disebabkan tumpuan terhadap kaun­ter-kaunter berkaitan sarung ­tangan getah.

“Selain itu, kaunter berkaitan teknologi juga dilihat bakal menjadi pilihan pelabur be­r­i­kutan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat atas sebab kebiasaan baharu untuk bekerja dari rumah.

“Sekiranya Covid-19 ini dapat dipulihkan melalui pe­nemuan vaksin dan sebagainya, saham-saham berkaitan sektor pelancongan seperti AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) pula akan menjadi fokus,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Volum dagangan saham di Bursa Malaysia kelmarin merekodkan nilai tertinggi apabila sebanyak 12.5 bilion unit saham bernilai RM6.6 bilion didagangkan sebelum ditutup.

Adam turut menjangkakan penyertaan pelabur runcit bakal meningkat susulan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini yang mana pelabur runcit dilihat cen­derung melabur dalam pasaran ekuiti bagi memperolehi ­pulangan lebih tinggi.

“Berdasarkan data sedia ada, penyertaan pelabur runcit Jun lalu telah pun meningkat kepada 37 peratus daripada ke­seluruhan pasaran ekuiti negara daripada sekitar 15 hingga 25 peratus sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Adam juga berpendapat kebanyakan perniagaan mungkin akan lebih berhati-hati bagi menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) dalam suasana pasaran dan ekonomi yang begitu meruap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.