Ekonomi dijangka pulih 2022 - Utusan Malaysia

Ekonomi dijangka pulih 2022

Risiko gelombang kedua pandemik dan ketiadaan vaksin mungkin melengahkan pemulihan ekonomi negara. - GAMBAR FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
Ketiadaan vaksin dan kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang kedua Covid-19 boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi negara. Lebih memburukkan keadaan, apa yang akan berlaku kepada rakyat terutama yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kali pertama, 18 Mac lalu. Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia, AFIQ MOHD. SHAH dan NUR IZZATI IZZAH NADZI yang meninjau impak Covid-19 kepada rakyat Malaysia, khususnya sektor ekonomi dan sejauh mana mereka bersedia menghadapi fasa berikutnya, jika ‘serangan’ kedua berlaku.

 

KUALA LUMPUR: Kepantasan pemulihan ekonomi Malaysia mungkin terjejas sekiranya berlaku gelombang kedua Covid-19 dan kegagalan untuk menemui vaksin bagi menangani pandemik yang telah melembabkan kegiatan aktiviti perdagangan di seluruh dunia.

Pandemik yang melanda dunia sejak Disember tahun lalu telah melemahkan pertumbuhan ekonomi global, memaksa jutaan pekerja hilang mata pencarian dan menyebabkan krisis kewangan di banyak negara.

Pensyarah Ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sunway, Dr. Yeah Kim Leng berkata, risiko gelombang kedua pandemik dan ketiadaan vaksin mungkin melengahkan pemulihan ekonomi negara kepada 2022 berbanding unjuran tahun depan apatah lagi banyak negara ekonomi besar dunia terma­suk Amerika Syarikat (AS), Brazil, China dan juga Indonesia masih belum berjaya mengawal penularan virus itu sebaiknya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan berjaya mengawal ­penyebaran Covid-19 ketika ini, pemulihan ekonomi bergantung kepada faktor lain seperti ­pe­nemuan dan ketersediaan ­vaksin.

“Saya beranggapan jika kita dapat menemui vaksin secepat mungkin, ekonomi negara mampu pulih pada separuh kedua 2021 dan stabil menjelang 2022.

“Selain itu, kedudukan ekonomi dapat pulih sekiranya sekatan rentas sempadan antarabangsa dibatalkan dan membolehkan pasaran global kembali dibuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ekonomi Malaysia dijang­ka menguncup tahun ini, ­pe­nguncupan pertama sejak 2009, berikutan penularan pandemik Covid-19 yang telah ­meragut 123 nyawa di negara ini.

Kadar pengangguran juga telah meningkat kepada 5.3 ­peratus setakat ini, kadar ter­tinggi dicatatkan negara sejak lebih 34 tahun lalu.

Tindakan kerajaan untuk melaksanakan pelbagai pakej rangsangan ekonomi termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rak­yat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) membantu mengurangkan kesan pandemik yang telah meragut lebih 600,000 nyawa di seluruh dunia.

Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menangguhkan pembayaran hutang selama enam bulan dan terbaharu penurunan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 1.75 peratus, paras terendah ­sejak 2004 bertujuan mengelak ­pe­ningkatan hutang lapuk dan me­rangsang kegiatan ekonomi.

Kim Leng berkata, walaupun kebanyakan sektor ekonomi kembali beroperasi seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), per­belanjaan pengguna berada pada kadar perlahan disebabkan kebimbangan ­penutupan perniagaan dan risiko kehilangan pekerjaan.

Mengenai risiko berlaku gelombang kedua, katanya, ekonomi negara akan berhadapan kerosakan lebih besar dan mengambil masa lebih lama untuk pulih mungkin memakan masa tiga hingga empat tahun jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sekali lagi.

Ketua Ahli Ekonomi Alliance Bank, Manokaran Mottain pula berpandangan fasa pemulihan ­keseluruhan ekonomi kekal tidak menentu disebabkan ketiadaan vaksin bagi mengawal penularan pandemik.

Pada masa sama, Manokaran berkata, peningkatan kes ­Covid-19 di seluruh dunia akan terus menekan prestasi kadar perdagangan luar negara di samping gangguan berterusan dalam rantaian bekalan global.

“Peningkatan kadar hutang awam kerana perbelanjaan lebih besar untuk mengatasi kemerosotan ekonomi turut menimbulkan risiko tinggi sehingga membuatkan penurunan kedudukan sekuriti kerajaan,” katanya.

Bagi Ketua Ahli Ekonomi ­Ambank, Dr. Anthony Dass dalam nota penyelidikan 15 Julai lalu pula mengunjurkan pasaran buruh negara kekal mencabar de­ngan kadar ketidaktentuan terus tinggi disebabkan kebimbangan berlakunya gelombang kedua.

Katanya, kadar pengangguran negara juga dijangka ­me­ningkat sehingga ke tahap enam sehingga lapan peratus dengan risiko ketidaktentuan politik, tempoh tamat moratorium dan berakhirnya ­subsidi upah menjadi penyumbang ­kepada masalah berkenaan.

“Peningkatan kadar pengangguran disebabkan impak kepada sektor perkhidmatan terutama pelancongan, penginapan, pe­ngurusan acara, hiburan dan seni, sukan serta aktiviti rek­reasi di samping pembinaan,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank ­Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan kadar OPR adalah positif bagi merancakkan ekonomi negara.

Katanya, penjimatan pembayaran bulanan hutang dapat meningkatkan pendapatan boleh guna yang diterjemahkan dalam bentuk perbelanjaan isi rumah.

“Buat masa ini, tanda-tanda pemulihan ekonomi mula kelihatan. Contohnya, jualan kenderaan telah meningkat kepada 22,960 unit pada Mei lalu (berbanding tahun lalu secara purata 45,000 unit setiap bulan) setelah merudum kepada 141 unit pada April manakala Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) yang mengukur sentimen peniaga telah melonjak ke paras melebihi 50 mata sekali gus melambangkan aktiviti ekonomi telah mula pulih.

“Berdasarkan pengiktirafan antarabangsa, negara mempunyai rekod yang baik dalam menghadapi gelombang pertama, justeru, tiada sebab ­me­ngapa kita tidak boleh menghadapi gelombang kedua tetapi paling penting adalah penyaluran maklumat serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ­telah ditetapkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN