Klana Beach Resort tampil kelainan - Utusan Malaysia

Klana Beach Resort tampil kelainan

KLANA BEACH RESORT, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pantai peranginan Port Dickson tidak perlu lagi diperkenalkan. Ia merupakan lokasi pilihan utama khususnya buat warga Lembah Kelang berehat seketika daripada kesibukan kota.

Bagi menampung kehadiran ramai pengunjung terutama pada waktu hujung minggu dan cuti umum, banyak hotel tersedia di Port Dickson bagi mereka yang mahu menginap sekurang-kurangnya untuk semalam.

Sementelah pergerakan merentas daerah dibenarkan mulai hari ini, jika inginkan kelainan, Klana Beach Resort, Port Dickson yang terletak 1.6 kilometer dari Telok Kemang boleh dijadikan salah satu pilihan pengunjung.

Menurut Pengurus Bahagian Pejabat Hadapan, Mohd. Hafzi Abd. Aziz, Klana Beach Resort, Port Dickson beroperasi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan adalah hotel patuh syariah dan menyediakan fasiliti mesra Muslim.

“Kami menyediakan hotel fasiliti lengkap bercirikan patuh syariah, bagi pengunjung Muslim kami sediakan termasuk kain pelikat, telekung dan tafsir al-Quran bagi memudahkan mereka.

“Kami juga mengalunkan ayat suci al-Quran pada waktu Subuh dan Maghrib malah tidak terkecuali dan lebih penting untuk menyediakan makanan halal dan bersih kepada semua pengunjung yang hadir ke sini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, berbanding hotel lain, Klana Beach Resort turut menempatkan Balai Cerap Baitul Hilal, Teluk Kemang yang dilihat sebagai satu tarikan utama pengunjung untuk menginap di hotel berkenaan.

“Tarikan Balai Cerap Baitul Hilal ini dilihat sebagai salah satu faktor pengunjung menginap di sini.

“Bagi mereka yang mahu melihat dengan lebih dekat aktiviti cerapan kami turut menyediakan aktiviti pencerapan pada waktu malam kepada pengunjung.

“Pengunjung akan diberi peluang mendalami ilmu falak pada dua sesi iaitu waktu petang pada pukul 3 hingga 5 petang dan pada pukul 10 hingga 12.30 malam. Aktiviti cerapan ini bagaimanapun tertakluk kepada cuaca,” katanya.

PIHAK hotel turut menawarkan promosi kepada petugas barisan hadapan dan media iaitu RM98 bagi harga bilik kepada pengunjung di situ.

PASMA JADI TARIKAN

Dalam pada itu, Mohd. Hafzi berkata, pihaknya turut mengadakan gerai makan berkonsepkan Pasar Malam (Pasma) bagi memudahkan pengunjung agar tidak perlu bersesak untuk mendapatkan makanan terutama semasa musim penularan Covis-19

“Di Klana Beach Resort, pada setiap sabtu hujung minggu kami menyediakan makanan yang dijual di pasar malam dengan harga serendah RM5.

“Pelbagai menu menarik disediakan seperti ikan bakar, Roti John, martabak dan sup gearbox yang mendapat sambutan malahan kami turut membuka Pasma ini kepada pengunjung luar,” katanya.

Sementara itu, pihak hotel turut menawarkan promosi kepada petugas barisan hadapan dan media iaitu RM98 bagi harga bilik kepada pengunjung yang menginap di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN