fbpx

Tepis sangkaan salah Tarekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ekstrem, sesat, taasub kepada guru (syeikh) adalah antara persepsi ramai terhadap kebanyakan pemimpin dan pengendali institusi tarekat di negara ini, tidak terkecuali di Negeri Sembilan.
Menurut Pengerusi Gabungan Tarekat Berdaftar Negeri Negeri Sembilan (G-Tariq), Dr. Muhammad Firdaus Abdul Manaf, sangkaan dan salah faham tersebut dihadapi sehingga kini meskipun perkembangan tarekat di negara ini sudah jauh banyak berubah.
“Antaranya, mendakwa bahawa tarekat adalah sesat dan banyak isu salah sangka termasuk mempersoalkan perbuatan mencium tangan syeikh, mereka katakan itu taasub dan mahu ‘bertuhankan’ guru termasuk meletakkan gambar di dinding.
“Ia bukan bermaksud untuk bertuhankan, ia hanya satu adab terhadap Syeikh yang banyak membantu dan membimbing. Perbuatan ini sebagai perasaan berterima kasih, tetapi orang lain pandang ia taasub,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kuala Klawang, Jelebu baru-baru ini.
Pun begitu, beliau yang juga Syeikh Tarekat Naqsyabandiah Kholidiyah di Kampung Masjid Dulang, Kuala Klawang, Jelebu itu memberitahu, penerimaan masyarakat terhadap tarekat juga sudah berubah dan orang ramai tidak lagi melihat tarekat sebagai institusi yang eksklusif.
“Di Tarekat Naqsyabandiah Kholidiyah ini sendiri, ia turut disokong oleh masyarakat sekeliling termasuk oleh datuk-datuk adat malah ahli politik,” terangnya.
Tambahnya, tarekat tidak lagi dilihat untuk kelompok berzikir sahaja, ia sudah berkembang, ada yang mampu menjana ekonomi untuk masyarakat, mempunyai pusat penyelidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Penga­malnya pun tidak lagi dilihat dengan bermuka masam dan pegang tasbih sahaja. Seperti saya sendiri, kami lihat respons masyarakat menerima tarekat dengan sangat baik, apabila terserempak mereka boleh bertegur sapa dan bergurau.
“Dengan penampilan santai, ia boleh menghapuskan jurang selama ini tetapi kita tidak sesekali menghilangkan prinsip tarekat itu,” tambahnya.
Muhammad Firdaus berkata, usaha untuk berdakwah kini memerlukan pendekatan berbeza dan ia mengikut peredaran zaman.
“Zaman sudah berubah, kalau dulu, ya, sesuai dengan zaman dahulu, zaman sekarang tidak boleh, apatah lagi seperti saya yang mengajar di universiti berhadapan dengan golongan muda. Jika mereka kini selalu dengan penggunaan media sosial, kita juga perlu begitu. Jika mereka tidak nampak sesuatu yang menarik, mereka tidak akan mendekati tarekat.
“Set minda Syeikh juga sudah berubah, puncanya apabila Jabatan Mufti Negeri Sembilan buat program, diwajibkan Syeikh ini terlibat sama, bersama-sama dengan masyarakat tetapi dalam dalam bercampur itu pada waktu yang sama mereka tetap dihormati,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan memberitahu, G-Tariq dianggotai 16 pertubuhan tarekat yang berdaftar dengan Jabatan Mufti Negeri, Negeri Sembilan di bawah Enakmen Tarekat (Negeri Sembilan) 2005.
“Sebut sahaja tarekat di Negeri Sembilan, ia tepat dan benar, tiada isu yang mengatakan ia sesat. Ia berdaftar dengan Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan telah disemak salasilah, sanad, dan kelayakan guru dan dilihat ahli-ahlinya, barulah kemudian tarekat itu diiktiraf,” katanya lagi.

DR. MUHAMMAD FIRDAUS
ABDUL MANAF
»Usia: 37
»Asal: Kuala Klawang, Jelebu
»Pendidikan: Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malayisa (UKM) ; Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.
»Jawatan: Pensyarah Kanan ACIS, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah; Pengerusi Gabungan Tarekat Berdaftar Negeri Negeri Sembilan (G-Tariq) dan Syeikh Tarekat Nasyabandiyyah Khalidiyyah

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN