Hilang suami dua hari sebelum Ramadan angkara Covid-19 - Utusan Malaysia

Hilang suami dua hari sebelum Ramadan angkara Covid-19

AWANG Hashim menyampaikan bayaran faedah pencen penakat kepada Rahayu Md. Isa yang kehilangan suami akibat Covid-19 pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Berat mata memandang berat lagi beban yang terpikul di bahu Rahayu Md. Isa, 50, yang terpaksa bergelar ibu dan bapa kepada lima anak setelah suami meninggal dunia akibat Covid-19.

Lebih memilukan adalah pemergian mengejut arwah suaminya itu, Mat Tarmizi Shaari, 52, dua hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Menurut Rahayu yang tinggal di Alor Janggus di sini, suaminya itu meninggal dunia pada 1 April kira-kira pukul 1.05 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selepas disahkan positif Covid-19 pada 26 Mac lalu.

“Selepas suami ‘pergi’, keadaan rumah kami sunyi tanpa gelak ketawa namun dia reda dengan ketentuan Ilahi. Suami saya suka buat jenaka, saya selalu ketawa bersama anak-anak, dia juga ramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

“Kehilangannya sangat terkesan dalam hidup kami enam beranak, anak bongsu saya baru berusia tujuh tahun, saya selalu pujuk dia agar rajin solat supaya boleh jumpa bapanya di syurga,” katanya.

Rahayu ditemui selepas menerima bayaran faedah pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Majlis Sambutan Aidilfitiri di sini, semalam.

Hadir bagi menyampaikan faedah itu ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Rahayu dan tiga anaknya yang berusia bawah 21 tahun menerima faedah berkenaan sebanyak RM2,394 sebulan selepas suaminya yang bekerja di Pos Laju di sini merupakan pencarum pertubuhan berkenaan.

Katanya, dia akan menggunakan wang itu untuk menyara anak-anaknya belajar selain untuk membeli barang keperluan mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah wang ini sedikit sebanyak mampu membantu saya untuk membesarkan anak-anak, walaupun suami saya sudah tiada namun masih ada sesuatu yang dia tinggalkan untuk anak-anak,” katanya yang merupakan pembantu tadbir di Kompleks Mahkamah di sini.

Pada majlis itu, Awang menyampaikan bayaran faedah Perkeso Kedah berjumlah keseluruhan RM26,100 kepada 13 orang berinsurans, manakala keseluruhan Perkeso Kedah membuat bayaran faedah berjumlah RM29 juta tahun lalu, berbanding lebih RM41 juta pada 2020.

Awang berkata selain itu, Perkeso turut membuat bayaran untuk kes Covid-19 kepada orang berinsurans yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja sejak Januari hingga April 2022 yang berjumlah lebih RM7 juta dengan 4,633 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya